KOTA KINABALU : Usaha memperkasa
ekonomi dan penyertaan wanita di Sabah diperkukuh menerusi Rangka Tindakan
Wanita Sabah.
Menteri Pembangunan Wanita,
Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata,
dokumen itu merangkumi pelbagai aspek termasuk penyertaan wanita dalam pembuat
keputusan, sektor awam, swasta serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
"Secara keseluruhan, dokumen
ini memang komprehensif dan boleh dilaksanakan.
"Apa yang perlu sekarang
adalah penyelarasan antara semua pihak supaya pelaksanaannya lebih tersusun.
"Antara fokus utama termasuk
meningkatkan penyertaan wanita dalam ekonomi dan keusahawanan serta memperluas
penglibatan dalam pembuat keputusan di semua peringkat.
"Usaha meningkatkan
penyertaan wanita di peringkat akar umbi sedang diselaraskan selaras pekeliling
kerajaan, namun faktor budaya dalam komuniti tertentu masih menjadi
cabaran," katanya dalam sidang media selepas menerima taklimat Rangka
Tindakan Wanita Sabah di sini, pada Selasa.
Rangka tindakan itu akan
dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun bermula 2026 hingga 2035, selaras dengan
dasar pembangunan wanita di peringkat negeri dan nasional.
Pelan tersebut dirangka dengan
mengambil kira pandangan serta input daripada pelbagai pihak termasuk sektor
awam, swasta, GLC, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Majlis Penasihat Wanita
Sabah serta Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah.
Terdahulu, taklimat itu yang
disampaikan oleh Ketua Bahagian Ekonomi Akar Umbi IDS, Masmidah Arsah
memaklumkan penyertaan wanita dalam sektor ekonomi dan politik masih rendah
dengan jurang gender yang ketara, sekali gus memerlukan intervensi dasar yang lebih
menyeluruh.
Sehubungan itu, antara cadangan
yang diketengahkan termasuk memperkukuh kuota wanita dalam pembuat keputusan,
menyediakan bajet tahunan khusus untuk wanita dalam pelbagai bidang serta
penganjuran program kesedaran dan advokasi khususnya dalam kalangan pemimpin
tertinggi kerajaan dan swasta.
Hadir sama, Setiausaha Tetap
(SUT) Kementerian Wanita Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Maria
Chong; Pengerusi Institut Kajian Pembangunan (Sabah), Datuk Seri Panglima
Azizah Mohd Dun dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Kajian Pembangunan
(Sabah), Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul.
