KPDN ambil tindakan tegas terhadap penyalahgunaan fleet card - Armizan

Armizan ketika ditemui pemberita selepas melawat rerurai pada program Inspirasi Beli Barangan Malaysia, di sini. 

KOTA KINABALU: Tindakan tegas akan dikenakan terhadap pihak yang menyalahgunakan ‘fleet card’ di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) termasuk dikenakan denda, sekatan dan hukuman lain menerusi peraturan khusus yang dirangka kerajaan.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata, KPDN telah menyediakan draf peraturan khusus di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi memperkemas kawal selia penggunaan fleet card dan menutup kelompongan sedia ada.


“Antara lain peraturan ini akan melibatkan aspek tanggungjawab pemegang fleet card dan syarikat minyak serta kesalahan dan hukuman bagi sebarang bentuk penyalahgunaan subsidi,” katanya. 


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat rerurai pada program Inspirasi Beli Barangan Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini. 


Katanya, peraturan itu kini dalam proses libat urus bersama pihak berkepentingan, termasuk Jabatan Peguam Negara sebelum dibawa ke Jemaah Menteri untuk diwartakan.


“Kita mahu lebih daripada sekadar sekatan penggunaan. Jika berlaku penyelewengan, syarikat dan pihak terlibat juga perlu berdepan tindakan kesalahan serta hukuman yang setimpal.


“Ini kerana penyaluran subsidi bersasar melalui SKDS dan fleet card adalah melibatkan dana awam serta wang rakyat,” jelasnya. 


Kesalahan utama yang dikesan ialah penggunaan fleet card oleh kenderaan yang tidak didaftarkan di bawah sistem berkenaan.


Katanya, setiap fleet card dikeluarkan khusus kepada syarikat dan kenderaan tertentu yang layak di bawah sektor pengangkutan barangan serta pengangkutan awam darat melibatkan 23 jenis kenderaan.


“Kita melihat ada pihak menggunakan fleet card untuk membeli diesel sedikit demi sedikit sebelum dikumpulkan di premis tertentu bagi tujuan dijual kepada industri ataupun diseludup.


“Sebagai contoh, satu kes di Johor baru-baru ini, penguat kuasa mengesan sebuah premis penyimpanan diesel dan menemui tiga fleet card digunakan dalam kegiatan itu,” ujar beliau. 


Armizan turut menegaskan syarikat minyak yang mengeluarkan fleet card perlu memainkan peranan dengan memperketatkan kawalan serta memastikan tahap kebertanggungjawaban lebih tinggi.


Dalam pada itu, beliau menggesa syarikat pengangkutan darat barangan yang layak supaya segera mendaftar SKDS melalui MySubsidi portal bagi memanfaatkan subsidi diesel bersasar berkenaan.


“Saya meminta sektor pengangkutan darat barangan yang melibatkan 23 jenis kenderaan di bawah kelayakan SKDS supaya segera mendaftar bagi membolehkan mereka menikmati manfaat subsidi ini.


“Di peringkat KPDN, jika dokumen lengkap dikemukakan menerusi portal, kelulusan boleh diberikan dalam tempoh yang singkat, malah ada yang dapat diluluskan pada hari sama.


“Bagaimanapun, fleet card dikeluarkan oleh syarikat minyak selepas kelulusan SKDS diperoleh dan proses itu mengambil masa sekitar tujuh hingga 14 hari.


“Jadi jangan tunggu saat akhir kerana jika terlalu ramai membuat permohonan serentak, proses mendapatkan fleet card mungkin mengambil masa lebih lama.


Beliau menambah bahawa KPDN menyediakan mereka sistem dalam talian bagi memudahkan proses pendaftaran ataupun pengguna boleh mendapatkan bantuan di pejabat KPDN negeri atau cawangan berhampiran.


“KPDN juga akan membuka kaunter dan booth pendaftaran dalam program tertentu termasuk Jualan Rahmah Madani pada hari ini, bagi membantu orang ramai mendapatkan maklumat serta membuat permohonan secara terus.


“Kita juga sudah mengintegrasikan sistem permohonan supaya lebih mudah dan tidak lagi memerlukan banyak dokumen hard copy atau proses cop yang rumit. Jadi saya sekali lagi menyeru supaya mereka segera mendaftar,” tambahnya. 


Kata beliau, KPDN komited melaksanakan dasar kerajaan bagi memastikan subsidi diesel menerusi SKDS disalurkan secara bersasar dan teratur kepada sektor yang layak.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama