28 scammer 'love scam' dan penipuan pelaburan dalam talian diusir pulang ke negara asal

28 warga asing yang sebelum ini disabitkan dengan kesalahan pakatan jenayah serta didenda RM5000 setiap seorang di usir pulang ke negara asal masing-masing, semalam. Foto / Ihsan PDRM


TAWAU : Seramai 28 warga asing yang disabitkan kesalahan terbabit dalam sindiket penipuan ‘love scam’ dan pelaburan dalam talian pada Khamis lepas diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan pengusiran ke negara asal masing-masing.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata kesemua mereka terdiri daripada 26 lelaki warga China, seorang wanita warga China dan seorang wanita warga Vietnam yang ditahan dalam operasi khas pada 6 Mei lepas sebelum didakwa di Mahkamah Majistret Tawau pada 14 Mei.

Beliau berkata sindiket terbabit dipercayai menjalankan kegiatan penipuan dalam talian dengan menyasarkan mangsa dari Korea Selatan menerusi platform komunikasi digital bagi memperdaya mangsa.

“Semua suspek didakwa mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan dan mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Mahkamah Majistret Tawau.

“Mahkamah turut menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap setiap seorang dan sekiranya gagal membayar denda boleh dipenjara antara dua hingga empat bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau lagi, kesemua suspek telah menjelaskan bayaran denda itu sebelum diserahkan kepada pihak JIM untuk proses penghantaran pulang ke negara asal masing-masing, semalam.

Beliau berkata polis akan terus mempergiat operasi membanteras kegiatan penipuan dalam talian yang semakin aktif serta mengancam masyarakat termasuk membabitkan sindiket warga asing yang beroperasi di daerah Tawau.

Media sebelum ini melaporkan 28 individu terbabit ditahan dalam serbuan di empat banglo mewah di Batu 10, Jalan Apas, Tawau menerusi operasi Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) bersama Strike Team dan Task Force Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau.

Dalam operasi itu, polis turut merampas 33 telefon bimbit, tiga komputer riba dan dua modem WiFi yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan penipuan pelaburan dalam talian menggunakan aplikasi WhatsApp dan Kakao Talk dengan sasaran utama warga Korea Selatan.




Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama