KOTA KINABALU: Taktik tiga pembantu penguat kuasa dipercayai menerima rasuah bulanan daripada sebuah syarikat perkakasan dan pengangkutan bagi ‘menutup mata’ terhadap pelbagai kesalahan lalu lintas akhirnya terbongkar apabila mereka ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.
Ketiga-tiga suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan antara jam 4 petang hingga 7 malam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek dipercayai meminta dan menerima rasuah kira-kira RM10,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap lori milik syarikat terbabit yang didakwa melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas.
“Perbuatan itu dipercayai dilakukan secara bersubahat antara Januari 2023 hingga Oktober 2024.
“Siasatan juga mendapati kesemua suspek dipercayai menerima wang rasuah secara tunai dan bayaran bulanan sebanyak RM500 yang disalurkan melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi pihak ketiga,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 kerana menerima rasuah.
