TUARAN : Klinik kesihatan di luar bandar perlu terus
diperkasa bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan
yang lebih cekap dan berkualiti.
Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Hanifah Hajar
Taib berkata, usaha menaik taraf fasiliti kesihatan khususnya di kawasan luar
bandar merupakan satu keperluan dalam memperkukuh sistem penjagaan kesihatan
primer.
"Kerja menaik taraf klinik kesihatan khususnya di luar
bandar adalah satu keperluan selaras dengan agenda reformasi kesihatan
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Langkah strategik ini amat penting bagi menjayakan
agenda kementerian iaitu beralih daripada merawat penyakit kepada penjagaan
kesihatan yang bermula di peringkat fasiliti kesihatan primer,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Blok Baharu
Klinik Kesihatan Tenghilan, Tuaran di sini, pada Isnin.
Beliau berharap masyarakat di daerah Tuaran khususnya
penduduk dalam kawasan liputan Klinik Kesihatan Tenghilan menjadikan klinik itu
sebagai pusat rujukan utama bukan sahaja untuk mendapatkan rawatan, tetapi juga
meningkatkan kesedaran mengenai pencegahan penyakit dan amalan gaya hidup
sihat.
"Saya berharap dengan adanya blok baharu ini,
penyampaian perkhidmatan akan menjadi lebih cekap dan selesa selain mewujudkan
suasana kerja yang lebih baik kepada petugas kesihatan,” jelasnya.
Hanifah turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa
mengutamakan aspek penjagaan kesihatan berikutan perubahan iklim global yang
menyebabkan cuaca tidak menentu termasuk peningkatan suhu panas, gelombang
haba, banjir kilat dan hujan berterusan.
"Saya ingin berpesan kepada semua agar meletakkan aspek
penjagaan kesihatan sebagai keutamaan.
“Jika berlaku cuaca panas ekstrem, hadkan aktiviti luar dan
pastikan minum air putih secukupnya. Pakailah pakaian yang longgar dan ringan
bagi membantu pengaliran haba badan.
“Semasa hujan lebat dan berlakunya banjir, patuhi arahan
berpindah sekiranya diarahkan pihak berkuasa dan lakukan dengan segera kerana
keselamatan nyawa adalah keutamaan tertinggi,” ujarnya.
Beliau turut menyeru masyarakat agar membudayakan gaya hidup
sihat termasuk melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala serta mempergiat
usaha pencegahan penyakit seperti membersihkan kawasan air bertakung bagi
menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes.
Pembinaan blok baharu Klinik Kesihatan Tenghilan yang siap
pada tahun 2024 itu memberi manfaat besar kepada kira-kira 23,000 penduduk
sekitar dalam mendapatkan akses rawatan kesihatan yang lebih cepat dan efisien.
Hadir sama, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima
Wilfred Madius Tangau; Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr William
Gotulis; Timbalan Setiausaha Bahagian Kanan, Bahagian Pembangunan KKM,
Nazaruddin Sharaai; Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pengurusan) JKNS, Datin
Jasnawati Jasmin dan Pegawai Kesihatan Kawasan Pejabat Kesihatan Tuaran, Dr
Pathman Arumugam.

