KENINGAU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memperhebat pemantauan dan kawalan keselamatan di kawasan sempadan Sabah-Indonesia bagi mengekang kegiatan penyeludupan serta jenayah rentas sempadan.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, hasil tinjauan udara yang dilakukan bersama barisan kepimpinan PDRM mendapati kawalan keselamatan di kawasan sempadan perlu dipertingkat secara berterusan.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan isu ketirisan sempadan termasuk penyeludupan dan kemasukan unsur jenayah dapat dikawal dengan lebih berkesan.
“Pagi tadi saya mengambil kesempatan melakukan penerbangan menggunakan helikopter bagi meninjau kawasan sempadan Malaysia dan Indonesia serta melihat sendiri keadaan perkampungan di kawasan berkenaan.
“Kita merasakan pemantauan dan liputan keselamatan perlu dilaksanakan secara berterusan agar keselamatan di sempadan dapat dikawal dengan sempurna,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Wira Madani anjuran Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Dewan Masyarakat Keningau, hari ini.
Katanya, antara isu yang diberi perhatian ketika ini ialah kegiatan penyeludupan dan jenayah berkaitan dadah yang dipercayai menggunakan laluan sempadan.
“Kita percaya ada pihak tertentu mengambil kesempatan melakukan kesalahan jenayah melibatkan narkotik atau dadah.
“Baru-baru ini kita melaksanakan operasi bersepadu di Semporna, Tawau dan Kota Kinabalu yang menyaksikan rampasan dadah dalam jumlah besar,” katanya.
Beliau berkata, kesinambungan operasi seumpama itu perlu diteruskan bagi memastikan tahap keselamatan dan keamanan di Sabah sentiasa berada dalam keadaan terkawal.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, aspek keselamatan penduduk di kawasan pedalaman termasuk Pensiangan dan kawasan pergunungan turut diberi perhatian pihak berkuasa.
“Kita mahu memastikan keselamatan penduduk kampung di kawasan pedalaman sentiasa berada di bawah kawalan keselamatan kerajaan dan PDRM,” katanya.
Terdahulu, Mohd Khalid berkata, Program Wira Madani yang berlangsung di Keningau merupakan program keempat diadakan di seluruh negara dan kali kedua dianjurkan di Sabah.
Menurutnya, program berkenaan menjadi platform mengeratkan hubungan antara kerajaan dan warga PDRM selain menghargai pengorbanan pegawai serta anggota polis dalam menjaga keamanan negara.
