KOTA KINABALU: Penubuhan Unit Ekonomi Kreatif di Sabah disifatkan sebagai inisiatif penting dalam memperkukuh pembangunan belia serta membuka lebih banyak ruang kepada generasi muda meneroka peluang ekonomi baharu berasaskan kreativiti dan inovasi.
Pakar pembangunan modal insan, Dr Al-Azharri Siddiq berkata, langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasakan golongan belia yang merupakan segmen terbesar penduduk Sabah.
Menurutnya, penubuhan unit berkenaan yang dicetuskan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor serta disokong Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (MYSpaCE) merupakan transformasi penting dalam memperkukuh ekosistem ekonomi negeri.
“Sabah mempunyai kira-kira 1.26 juta belia atau 33.5 peratus daripada keseluruhan penduduk. Angka ini membuktikan betapa besar potensi yang perlu digerakkan secara lebih tersusun dan strategik,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, Unit Ekonomi Kreatif berupaya menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi baharu termasuk ekonomi gig, teknologi kecerdasan buatan (AI), data raya serta industri kreatif seperti muzik, sukan dan kebudayaan.
Katanya, Sabah yang kaya dengan sumber semula jadi dan kepelbagaian budaya mempunyai kelebihan untuk membangunkan sektor ekonomi kreatif secara lebih berstruktur dan berimpak tinggi.
“Ekonomi hari ini tidak lagi tertumpu kepada sektor tradisional semata-mata, sebaliknya telah berkembang kepada pelbagai bidang baharu yang lebih dinamik dan berasaskan inovasi,” katanya.
Dr Al-Azharri berkata, inisiatif itu juga mampu mengurangkan kebergantungan belia Sabah terhadap peluang pekerjaan di luar negeri sekiranya dilaksanakan dengan perancangan yang menyeluruh.
Menurutnya, penghijrahan belia ke Semenanjung sejak sekian lama boleh diminimumkan sekiranya peluang ekonomi di Sabah diperkasakan melalui dasar yang inklusif dan mampan.
Dalam pada itu, beliau mencadangkan agar pelaksanaan Unit Ekonomi Kreatif diperkukuh menerusi kerjasama strategik bersama institusi pengajian tinggi seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta penetapan indikator prestasi utama (KPI) yang jelas.
“Pelaksanaan secara berfasa dan kerjasama dengan institusi akademik penting bagi memastikan dasar yang diperkenalkan benar-benar memberi impak kepada pembangunan belia,” katanya.
Dr Al-Azharri yang berpengalaman dalam bidang nation building, patriotisme serta pembangunan modal insan berkata, belia Sabah perlu merebut peluang yang disediakan kerajaan negeri bagi meningkatkan daya saing dalam ekonomi masa depan.
“Belia tidak boleh lagi menoleh ke belakang. Ini masa untuk mereka melangkah ke hadapan dalam ekonomi kreatif yang sedang berkembang pesat,” katanya.
