RANAU: Sebanyak 31 produk tempatan Sabah telah didaftarkan di bawah Petunjuk Geografi (GI) setakat April tahun ini, menjadikan negeri itu antara penyumbang utama kepada portfolio GI negara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, daripada keseluruhan 130 pendaftaran GI di seluruh negara, 31 daripadanya berasal dari Sabah.
Menurutnya, pencapaian itu membuktikan Sabah mempunyai potensi besar dalam penghasilan produk berasaskan keunikan tempatan serta asal-usul geografi yang bernilai tinggi.
“Sabah antara negeri yang tertinggi dari segi pendaftaran GI di Malaysia. Setakat April 2026, sebanyak 130 GI berdaftar di negara ini dan 31 daripadanya adalah dari Sabah termasuk Sabah Tea,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Jelajah Harta Intelek anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) di Sabah Tea, di sini.
Armizan berkata, Program Jelajah Harta Intelek diperkenalkan bagi mengenal pasti serta memperkasa produk tempatan yang berpotensi dilindungi dan dikomersialkan secara lebih strategik sebagai aset harta intelek melalui instrumen seperti GI, cap dagangan, paten dan hak cipta.
Katanya, pemilikan harta intelek mampu meningkatkan daya saing produk tempatan dalam pasaran domestik dan antarabangsa.
“Produk yang mempunyai pendaftaran GI bukan sekadar mewakili asal-usul geografi, tetapi perlu memiliki keunikan, keaslian dan reputasi tersendiri yang diiktiraf melalui penilaian ketat,” katanya.
Beliau berkata, antara produk GI Sabah yang telah membina identiti pasaran tersendiri ialah Sabah Tea, Tenom Coffee, Borneo Virgin Coconut Oil, Sabah Seaweed, Tawau Cocoa, Tambunan Ginger dan Batik Sabah.
Dalam pada itu, beliau berkata KPDN melalui MyIPO sedang bekerjasama dengan Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) serta Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah bagi membangunkan Sabah Intellectual Property Development Plan 2026-2030.
Katanya, pelan itu bertujuan memperkukuh pembangunan ekonomi negeri berasaskan inovasi dan harta intelek termasuk memperluaskan pendaftaran GI, penilaian IP, pembiayaan serta pemasaran produk tempatan.
“Hasrat kita bukan sekadar meningkatkan pendaftaran IP tetapi memastikan produk-produk tempatan Sabah dapat dikomersialkan sebagai produk premium yang mampu menembusi pasaran global,” katanya.

