KUDAT: Seorang kanak-kanak lelaki ditemukan lemas selepas dipercayai tergelincir ketika memancing di sebuah tali air di Kampung Masankong, di sini petang tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 11 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Darikson Galanang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 5.59 petang.
Menurutnya, sepasukan 10 anggota bersama sebuah jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 14 kilometer dari balai.
“Berdasarkan maklumat awal, mangsa sedang memancing ikan di tali air bersama rakannya sebelum dipercayai tergelincir dan terjatuh ke dalam tali air tersebut.
“Bagaimanapun, mangsa berjaya ditemukan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pegawai perubatan KKM kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, operasi turut dibantu lima anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tiga petugas KKM.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.12 malam selepas keadaan disahkan selamat,” katanya.
