Berbeza pendirian pentadbiran lalu, Kerajaan Madani iktiraf hak 40% Sabah

Sesi Perbincangan Khas Berhubung Status Perkembangan Pelaksanaan Hak 40 peratus Sabah bersama pimpinan utama GRS dan wakil Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini. Foto Facebook Armizan Mohd Ali

KOTA KINABALU: Komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memperbetulkan pendirian rasmi pentadbiran terdahulu berhubung hak 40 peratus Pemberian Khas Sabah disifatkan sebagai langkah penting dalam mengiktiraf hak negeri itu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, komitmen itu dizahirkan sendiri oleh Perdana Menteri menerusi platform rasmi di Dewan Rakyat pada 13 November 2025.

Menurutnya, pengiktirafan berkenaan sekali gus memperlihatkan perubahan pendirian Kerajaan Persekutuan berbanding pentadbiran terdahulu yang sebelum ini tidak membuat semakan kadar Pemberian Khas malah pernah menyatakan di Parlimen bahawa hak 40 peratus Sabah sudah terhenti berkuat kuasa.

“Ini sejajar dengan komitmen yang dizahirkan oleh YAB Perdana Menteri sebelum ini termasuk dalam platform rasmi di Dewan Rakyat pada 13 November 2025 bahawa Kerajaan Persekutuan mengiktiraf hak 40 peratus Pemberian Khas bagi Sabah sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Komitmen ini menzahirkan pendirian Kerajaan Persekutuan hari ini untuk memperbetulkan pendirian rasmi pentadbiran-pentadbiran lalu yang bukan sahaja tidak membuat sebarang semakan, malah pernah menjawab secara rasmi di Parlimen bahawa hak 40 peratus Sabah itu telah terhenti berkuat kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyelaraskan Sesi Perbincangan Khas Berhubung Status Perkembangan Pelaksanaan Hak 40 peratus Sabah bersama pimpinan utama GRS dan wakil Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Turut hadir tiga Timbalan Ketua Menteri Sabah yang mengetuai delegasi negeri dalam Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (JT-MTPMA63).

Armizan berkata, walaupun kes berkaitan hak 40 peratus itu masih dalam proses perundangan di Mahkamah Rayuan, GRS tetap berpendirian bahawa semakan terkini kadar Pemberian Khas di bawah Perkara 112C dan 112D perlu dilaksanakan tahun ini.

Katanya, GRS yakin Kerajaan Persekutuan akan bersetuju membuat semakan dengan kadar baharu yang lebih tinggi bermula tahun 2026.

“GRS dan Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor akan terus menggunakan platform perundingan yang diwujudkan bagi memastikan semakan kadar baharu Special Grant dapat dilaksanakan tahun ini.

“Kita mahu kadar yang dicapai jauh lebih tinggi sebagaimana hak dan syor yang dikemukakan secara rasmi oleh Sabah,” katanya.

Beliau berkata, tuntutan hak itu penting bagi memperkukuhkan ruang fiskal negeri demi kesejahteraan rakyat serta mempercepatkan pembangunan Sabah.

Menurutnya, peningkatan kadar Special Grant daripada hanya RM26.7 juta bagi tempoh 1974 hingga 2021 kepada RM600 juta setahun ketika ini sudah membolehkan pelbagai inisiatif rakyat dilaksanakan kerajaan negeri.

"Antara manfaat yang sudah dirasai rakyat ialah pelaksanaan Rumah Mesra SMJ dengan 6,634 rumah siap dibina setakat 30 April lalu untuk golongan miskin.

" Selain itu, Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) turut menyalurkan bantuan tunai bulanan kepada 140,000 ketua isi rumah miskin di seluruh Sabah sejak dua tahun lalu," katanya. 

Armizan berkata, sekiranya kadar Special Grant terus meningkat tahun ini, kerajaan negeri bercadang memberi tumpuan kepada projek tambahan termasuk menaik taraf sistem perpaipan air bagi menangani isu non-revenue water (NRW) serta pembinaan jambatan khususnya di kawasan luar bandar.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama