![]() |
| Nor Hisham (tengah) ketika menyampaikan hadiah pemenang pertandingan mewarna bagi kategori tadika sempena program CFLC, hari ini. |
PUTATAN: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan mencipta sejarah baharu apabila menjadi lokasi pertama Community Fire Learning Centre (CFLC) di Sabah yang bukan sahaja berfungsi sebagai pusat pendidikan keselamatan kebakaran, malah hab komuniti setempat.
Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, inisiatif Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu membolehkan masyarakat menggunakan fasiliti di balai bomba untuk pelbagai aktiviti komuniti seperti mesyuarat, jamuan dan program kemasyarakatan.
Menurut beliau, CFLC yang diwujudkan di BBP Putatan merupakan sebahagian daripada pelan strategik di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta JBPM.
“CFLC ini bukan sekadar pusat pembelajaran kebombaan, tetapi kita juga mahu komuniti menggunakan fasiliti yang ada di balai bomba untuk program masyarakat.
“Namun syarat utama yang kita tetapkan ialah setiap program perlu diselitkan dengan pendidikan awam berkaitan keselamatan kebakaran,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan CFRC di BBP Putatan, di sini, hari ini.
Katanya, pendidikan keselamatan kebakaran penting untuk masyarakat mempelajari ilmu berkenaan ketika berdepan situasi kebakaran, terutamanya berkaitan langkah keselamatan asas.
“Ini penting kerana kebakaran bukan kejadian yang sering berlaku dan mungkin ada individu yang sepanjang hidupnya tidak pernah mengalami situasi kebakaran.
“Namun apabila sesuatu perkara jarang berlaku, kita bimbang masyarakat akan lupa langkah asas keselamatan kebakaran jika tidak diberi peringatan atau pendedahan semula secara berkala.
“Antara perkara asas yang sering diabaikan ialah lokasi penyimpanan kunci grill rumah, sama ada penghuni membuat pemeriksaan terhadap papan kawalan elektrik utama(MCB), serta mengetahui cara menguji sama ada ia masih berfungsi dengan baik atau tidak.
“Selain itu, aspek seperti kedudukan kunci pintu dan paras pemasangannya juga penting.
“Perkara asas ini mungkin nampak kecil, tetapi boleh menentukan hidup dan mati mangsa ketika berlaku kebakaran,” jelasnya.
Nor Hisham menambah, CFLC Putatan dibangunkan menerusi kerjasama tujuh syarikat swasta di bawah inisiatif People Public Private Partnership (4P).
Beliau berkata, pusat itu dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk ruang komuniti dan fasiliti pendidikan keselamatan kebakaran.
Katanya, kejayaan pembangunan CFLC di Putatan membuka ruang kepada JBPM untuk memperluaskan inisiatif sama ke Sandakan dan Tawau.
Ketika ditanya berkenaan pendedahan ilmu keselamatan lemas, beliau berkata pendidikan keselamatan air dan lemas amat penting memandangkan Sabah mempunyai banyak kawasan air termasuk laut, sungai dan kawasan banjir.
Menurutnya, JBPM menyasarkan seramai 50,000 pelajar diberi pendedahan asas menyelamatkan diri dalam tempoh lima tahun.
“Berdasarkan program United Nations on Drowning, individu yang tahu berenang mampu mengurangkan risiko kematian akibat lemas sehingga 83 peratus,” ujar beliau.
