PAPAR: Kira-kira 30,000 pengunjung hadir bagi memeriahkan sambutan Pelancaran Pesta Kaamatan peringkat negeri yang dilancarkan hari ini, sekali gus mencerminkan sambutan memberangsangkan daripada rakyat Sabah.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Joachim Gunsalam berkata, program Kaamatan tahun ini akan berlangsung di seluruh daerah termasuk luar Sabah seperti Kuching, Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.
“Kita bersyukur dengan kehadiran yang begitu ramai hari ini dan sambutan yang amat menggalakkan daripada semua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Perayaan Pesta Kaamatan yang bertempat di Dewan Masyarakat Papar, di sini, pada Jumaat.
Menurutnya, kemuncak sambutan akan diadakan pada 30 dan 31 Mei di Hongkod Koisaan, Kadazandusun Cultural Association (KDCA) di Kota Kinabalu, dengan pelbagai acara kebudayaan disusun sepanjang bulan.
“Tema tahun ini ‘Kaamatan Menuai Perpaduan, Merayakan Keharmonian’ sebagai wadah menyatukan rakyat pelbagai kaum dan kepercayaan di Sabah.
“Kita hidup harmoni walaupun berbeza dari segi agama, etnik dan kepercayaan, namun sebagai rakyat Sabah kita bersama-sama meraikan keharmonian.
“Inilah yang kita mahu, bukan hanya sepanjang bulan Mei, tetapi diamalkan berterusan dalam kehidupan seharian,” ujar beliau.
