Jurang ekonomi wanita luar bandar Sabah masih perlu diberi perhatian - Julita

Rina (dua dari kiri) mewakili Julita pada Program Sentuhan Kasih JHEWA: Suara Anda Aspirasi Kami sempena sambutan Hari Ibu 2026, di sini, hari ini. 


KOTA KINABALU: Isu jurang ekonomi dalam kalangan wanita luar bandar di Sabah masih berada pada tahap membimbangkan dan memerlukan usaha lebih agresif untuk membantu golongan terbabit meningkatkan taraf hidup mereka, kata Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (KWKKR), Datuk Julita Majungki.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sentuhan Kasih JHEWA: Suara Anda Aspirasi Kami sempena sambutan Hari Ibu 2026 yang diwakili oleh Pembantu Menteri KWKKR, Datuk Rina Jainal, di sini, hari ini.

Menurut beliau, isu jurang ekonomi wanita khususnya di luar bandar masih menjadi cabaran besar yang perlu diberi perhatian serius.

“Saya juga ingin mengingatkan bahawa isu kita yang sangat serius, isu wanita di Sabah pada hari ini adalah isu jurang ekonomi yang sangat besar yang ini adalah masalah kita yang perlu kita hadapi pada hari ini.

“Ini adalah antara inisiatif agresif berterusan daripada pihak JHEWA untuk terus melancarkan program-program yang mampu merangsang ekonomi. Namun kita lihat usaha ini masih belum mampu membantu wanita-wanita kita di bawah, di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu lebih ketara dalam kalangan wanita luar bandar yang masih berdepan kekangan ekonomi dan peluang pekerjaan.

“Mungkin kita yang tinggal di bandar tidak melihat isu ini yang begitu ketara kerana kita mempunyai industri-industri yang boleh memberi peluang pekerjaan.

“Tapi bagaimana pula wanita-wanita atau ibu-ibu yang berada di luar bandar?, mereka masih lagi mempunyai kekangan dalam memperjuangkan dan membina keluarga mereka.

“Mereka juga masih berdepan dengan kekangan ekonomi dan masalah peluang pekerjaan yang begitu serius,” jelasnya.

Beliau menegaskan keadaan itu turut memberi kesan kepada masa depan generasi yang dibesarkan dalam persekitaran berdepan tekanan ekonomi.

Sementara itu, beliau berkata wanita juga perlu lebih berani untuk menyertai bidang kepimpinan demi membawa perubahan kepada sistem sedia ada.

Katanya, wanita juga memainkan peranan besar bukan sahaja dalam keluarga, malah dalam pembangunan ekonomi, sosial dan masyarakat negeri ini.

Dalam pada itu, Program Sentuhan Kasih JHEWA: Suara Anda Aspirasi Kami menjadi platform mendekati golongan wanita akar umbi menerusi pelbagai perkhidmatan, bantuan dan perkongsian maklumat secara terus kepada masyarakat.

Tambah beliau, program seumpama itu penting kerana bukan sahaja dekat dengan masyarakat, malah membawa mesej penghargaan, kesejahteraan dan pemerkasaan wanita secara menyeluruh.

“Penganjuran program seperti ini amat signifikan kerana mencerminkan perhatian Kerajaan Negeri dalam memastikan masyarakat, khususnya golongan wanita dan ibu, sentiasa diberi perhatian melalui pendekatan yang lebih inklusif, bersasar rakyat dan berimpak tinggi,” ujarnya.

Beliau berkata, program itu turut membuka ruang kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat, pandangan dan bantuan secara terus dalam suasana lebih santai serta mesra pelanggan.

“Saya amat menghargai pendekatan yang dilaksanakan oleh JHEWA melalui program ini kerana ia membuka ruang kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat, pandangan dan bantuan secara terus dalam suasana yang lebih santai, terbuka dan mesra pelanggan,” tambahnya.

Menurut beliau, pelbagai agensi dan rakan strategik turut mengambil bahagian dalam program berkenaan termasuk penyediaan khidmat nasihat, klinik guaman wanita, pendaftaran kursus wanita, pendaftaran NGO wanita serta pameran perkhidmatan Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS).

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama