RANAU: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) menafikan dakwaan yang tular di media sosial baru-baru ini kononnya guru di SK Pinawantai terpaksa memikul beras untuk dihantar ke asrama sekolah.
Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, dakwaan berkenaan adalah tidak benar kerana sekolah terbabit tidak mempunyai asrama.
Menurutnya, terdapat dua sekolah di Sabah yang mempunyai nama sama iaitu SK Pinawantai, Kudat dan SK Pinawantai, Ranau, namun kedua-duanya tidak memiliki kemudahan asrama serta terletak berhampiran jalan raya.
“Semua guru juga menggunakan kenderaan peribadi untuk hadir ke sekolah.
“Tiada isu guru memikul beras untuk dihantar ke asrama sekolah berkenaan.
“Guru Besar SK Pinawantai, Ranau juga telah membuat penafian terhadap isu yang diviralkan dan menegaskan tiada guru bernama Farhan di sekolah itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Raisin menyeru orang ramai khususnya pengguna media sosial supaya lebih bertanggungjawab ketika membawa atau menyebarkan isu berkaitan pendidikan.
“Kementerian Pendidikan Malaysia dan JPN Sabah sentiasa komited dalam meningkatkan kualiti pendidikan di Sabah,” tegas beliau.
.png)