11 gajah pygmy terperangkap dalam kolam berjaya diselamatkan

Foto: Jabatan Hidupan Liar Sabah

KINABATANGAN: Sebanyak 11 ekor gajah termasuk seekor anak gajah yang terperangkap di dalam sebuah kolam di ladang FGV Cepat Ringgit B berhampiran Hutan Simpan Deramakot, berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan serius atau kematian.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Jafry Ariffin berkata, pada peringkat ini masih belum dapat dipastikan sama ada kumpulan gajah berkenaan memasuki kolam itu sendiri atau terjatuh secara tidak sengaja.

“Sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, saya amat prihatin terhadap insiden tersebut yang berlaku di kawasan ladang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, Jabatan Hidupan Liar Sabah bersama pihak pengurusan ladang bertindak pantas dengan mengarahkan tebing kolam diratakan bagi membolehkan gajah-gajah itu keluar dengan selamat.

“Saya lega kerana kesemua gajah berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan serius atau kematian.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah, renjer lapangan, kakitangan ladang serta semua pihak terlibat atas tindakan pantas dan profesional dalam mengendalikan situasi ini,” katanya.

Jafry berkata, insiden itu menjadi peringatan penting bahawa kolam, parit dan struktur berbahaya lain berhampiran laluan pergerakan hidupan liar masih menimbulkan risiko kepada hidupan liar Sabah, khususnya gajah pygmy Borneo yang merupakan antara spesies ikonik dan dilindungi di negeri ini.

Katanya, jabatan itu turut mengarahkan pengusaha ladang supaya memastikan struktur kolam seumpama itu tidak dibangunkan tanpa langkah mitigasi yang sesuai.

“Sekiranya pembinaan kolam diperlukan, sekurang-kurangnya satu bahagian tebing perlu dibina dengan cerun landai dan bukannya dinding menegak yang curam bagi membolehkan hidupan liar keluar dengan selamat sekiranya insiden seperti ini berlaku,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata terdapat kemungkinan kumpulan gajah terbabit memasuki kolam secara sukarela berikutan keadaan cuaca panas ketika ini.

“Gajah sememangnya diketahui mencari sumber air untuk menyejukkan suhu badan melalui aktiviti berkubang dan mandi,” katanya.

Beliau menegaskan Jabatan Hidupan Liar Sabah akan terus bekerjasama dengan pengusaha ladang, komuniti setempat dan rakan pemuliharaan bagi memperkukuh langkah perlindungan hidupan liar serta meningkatkan keupayaan tindak balas pantas.

“Jabatan juga akan memastikan aktiviti pembangunan berhampiran koridor ekologi dilaksanakan secara bertanggungjawab dan mampan.

“Melindungi biodiversiti Sabah merupakan tanggungjawab bersama,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama