KOTA KINABALU : Amalan menabung
secara konsisten dan berdisiplin di Tabung Haji sejak awal antara faktor utama
yang membolehkan bakal jemaah haji Sabah terpilih sebagai 'Tetamu Allah' bagi
musim haji tahun ini.
Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun
Musa Aman berkata, keberangkatan para jemaah pada tahun ini bukan sekadar satu
perjalanan fizikal, malah merupakan satu anugerah besar yang mencerminkan
kesungguhan serta ketekunan luar biasa dalam merancang masa depan kewangan.
"Amalan menabung secara
konsisten bukan sahaja mencerminkan perancangan kewangan yang bijaksana, malah
menjadi bukti dengan kesabaran, perancangan, dan usaha yang berterusan,
seseorang itu mampu mencapai syarat kewajipan untuk menunaikan ibadah haji.
"Saya percaya ini juga
mencerminkan kesungguhan, kesabaran dan ketekunan luar biasa oleh Para Bakal
Haji yang telah memulakan langkah menabung sejak sekian lama, dengan penuh
disiplin dan istiqamah di Tabung Haji, demi mencapai impian untuk menjejakkan
kaki ke Tanah Suci.
“Keupayaan mengurus kewangan
secara teliti menerusi Lembaga Tabung Haji (TH) membuktikan perancangan jangka
masa panjang mampu merealisasikan impian menunaikan rukun Islam kelima
tersebut," katanya ketika menyampaikan perutusan Majlis Mengucapkan Selamat
Berangkat kepada Jemaah Haji Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa
Sabah (SICC), pada Isnin.
Bagi musim kali ini, seramai
1,195 bakal haji dari Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan terdiri daripada 142
jemaah dijadualkan berlepas ke Tanah Suci melalui inisiatif Makkah Route.
Program tersebut merupakan
kemudahan pra-pelepasan yang bertujuan mempercepatkan urusan imigresen, kastam
dan kesihatan sekali gus memastikan keselesaan maksimum buat para jemaah
setibanya di Arab Saudi.
Tun Musa turut menitipkan pesanan
agar para jemaah sentiasa menjaga adab, mengekalkan disiplin serta memantau
kesihatan sepanjang berada di bumi suci supaya ibadah dapat dilaksanakan dengan
sempurna, selain mendoakan kesejahteraan, keamanan dan kemakmuran Sabah serta
Malaysia agar terus dilindungi dan diberkati.
Turut hadir dalam majlis tersebut
ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor; Menteri Kewangan
Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun; serta Menteri Kerajaan Tempatan dan
Perumahan Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif.
