KOTA KINABALU : Jabatan Muzium
Negeri Sabah (JMNS) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan
Alam Sekitar Sabah (KePKAS) terus memperkukuh usaha memajukan sektor
pelancongan serta memelihara warisan budaya di negeri ini.
Setiausaha Tetap KePKAS, Datuk
Josie Lai Mei Sing berkata, program anjuran JMNS seperti ‘Pameran Interpretasi
Hidup’ amat bertepatan dengan peranan KePKAS dalam memperkasa sektor
pelancongan, memelihara warisan budaya serta menggalakkan penglibatan komuniti
secara berterusan.
"Program ini selari dengan
aspirasi kementerian untuk memperkasa pelancongan berasaskan budaya dan
memastikan pembangunan pelancongan negeri dilaksanakan secara mampan serta
memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
"Melalui pendekatan
interpretasi hidup, pengunjung bukan sahaja melihat pameran, malah dapat
mengalami sendiri budaya Sabah menerusi demonstrasi kraftangan, persembahan
seni tradisi, makanan dan aktiviti interaktif yang disediakan oleh pihak JMNS.
"Secara tidak langsung, ia
menjadikan Kompleks Muzium Sabah sebagai destinasi pelancongan budaya yang
lebih menarik dan berimpak tinggi,” katanya ketika merasmikan Majlis
Prapelancaran Pameran Interpretasi Hidup sempena Hari Muzium Antarabangsa 2026
di Kampung Warisan I, Kompleks Muzium Sabah, pada Isnin.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh
Timbalan Setiausaha Tetap II KePKAS, Datin Dr. Cleopatra @ Clare Asing.
Beliau berharap program seumpama
itu dapat diteruskan secara konsisten dan dijadikan platform tahunan bagi
memperkukuh kerjasama antara kerajaan, komuniti, pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) serta sektor swasta.
Sementara itu, Pengarah JMNS,
Aldofus Lester John Millip berkata, pihaknya komited memperkukuh peranan muzium
bukan sahaja sebagai tempat penyimpanan koleksi, tetapi juga sebagai ruang yang
menghidupkan budaya menerusi pendekatan lebih interaktif bagi mendekatkan
masyarakat dan pengunjung dengan warisan budaya negeri ini.
"Selaras dengan tema ‘Muzium
sebagai Gerbang Budaya Sabah’, JMNS merancang pelaksanaan program ‘Pameran
Interpretasi Hidup’ yang akan berlangsung pada setiap hujung minggu di kawasan
Rumah Tradisional Fasa I bermula Jun 2026.
"Program ini bertujuan
memupuk kefahaman dan penghargaan masyarakat terhadap kepelbagaian budaya etnik
di Sabah, selain mempromosikan warisan budaya hidup sebagai aset pelancongan
serta menggalakkan penglibatan komuniti dalam pemeliharaan budaya dan ekonomi
kreatif," ujarnya.
Beliau berharap usaha itu menjadi
langkah permulaan yang positif ke arah pelaksanaan program lebih menyeluruh,
sekali gus menjadikan Muzium Sabah sebagai destinasi utama pelancongan budaya
yang hidup, interaktif dan berterusan.
Turut hadir, Pengarah Kementerian
Pelancongan, Seni dan Budaya Sabah (MOTAC), Chong Wai Kit serta ketua-ketua
jabatan persekutuan dan negeri.
