SANDAKAN: Seorang wanita warga emas ditemukan maut selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah separuh kekal dua tingkat di Jalan Fook Hin, Batu 12, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa, Nicole, 84, ditemukan di ruang tamu rumah oleh pasukan bomba selepas operasi pemadaman dijalankan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu melalui talian balai sebelum sepasukan 13 anggota bersama beberapa jentera digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 9 malam dan mendapati rumah berkeluasan 40 x 80 kaki persegi itu sudah terbakar sepenuhnya.
“Seorang wanita warga emas dilaporkan terperangkap di dalam rumah sebelum operasi mengeluarkan mangsa segera dijalankan oleh anggota bomba.
“Operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan menggunakan sumber air daripada jentera Water Tanker,” katanya dalam kenyataan media, malam tadi.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.35 malam sebelum mangsa ditemukan pada jam 10.44 malam.
Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi membabitkan anggota dari BBP Sandakan dengan bantuan Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
