![]() |
| Armizan ketika ditemui pada sidang media di Kundasang, di sini. |
KUNDASANG: Kerajaan memperluaskan kelayakan subsidi diesel melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kepada kenderaan jenis jip dan pikap bagi sektor pengangkutan darat barangan di seluruh negara berkuat kuasa 1 Jun ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup(KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sebelum ini kelayakan bagi kedua-dua jenis kenderaan itu hanya diberikan di kawasan Cameron Highlands.
Menurutnya, keputusan tersebut dibuat susulan mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 Mei lalu bagi membolehkan lebih banyak syarikat pengangkutan darat menikmati manfaat subsidi diesel bersasar.
“Jadi susulan daripada mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 Mei 2026, kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan peluasan kelayakan bagi jenis kenderaan jip dan pikap di bawah SKDS bagi sektor pengangkutan darat barangan ke seluruh negara.
“Berbanding sebelum ini, kelayakan untuk jenis kenderaan jip dan pikap ini hanya untuk kawasan Cameron Highland.
“Sehingga 20 Mei 2026, sebanyak 179,716 syarikat yang melibatkan 432,495 kenderaan sektor pengangkutan darat awam, sektor pengangkutan darat barangan dan sektor pengangkutan awam air yang berkelayakan telah mendapat manfaat subsidi petrol dan diesel bagi SKPS dan SKDS,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Sidang Media Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi di sini, pada Sabtu.
Katanya, syarikat pengangkutan darat yang memiliki kenderaan jip dan pikap boleh mula membuat pendaftaran bermula 1 Jun depan.
Dalam pada itu, Armizan berkata kerajaan turut memperluaskan manfaat subsidi diesel kepada kenderaan jip dan pikap yang sebelum ini didaftarkan atas nama individu tetapi digunakan bagi aktiviti pengangkutan barangan darat.
Bagaimanapun katanya, pemilik perlu menubuhkan syarikat atau perniagaan terlebih dahulu sebelum membuat pertukaran hak milik kenderaan daripada kategori individu kepada syarikat menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Pemilik perlu mendaftarkan syarikat atau perniagaan terlebih dahulu dan kemudian membuat perubahan kategori kenderaan daripada individu kepada syarikat atau perniagaan sebelum membuat permohonan SKDS,”tegasnya.
.png)