JIM Sabah hantar pulang 112 PATI Filipina

LAHAD DATU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menghantar pulang seramai 112 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan Asing, kelamrin.

Pengarah JIM Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, semua tahanan dipindahkan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu melalui Pelabuhan Lahad Datu ke Pelabuhan Bongao, Tawi-Tawi, Filipina menggunakan feri komersial.

Katanya, kumpulan PATI terbabit membabitkan 63 lelaki dewasa, 34 wanita dewasa, lapan kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan berusia antara empat bulan hingga 66 tahun.

“Kanak-kanak yang terbabit dalam program pemindahan ini turut diiringi ibu bapa atau penjaga masing-masing.

“Semua tahanan sudah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang selain memiliki dokumen perjalanan sah untuk melayakkan mereka dihantar pulang ke negara asal,” katanya dalam kenyataan media, kelmarin.

Menurutnya, sehingga kini seramai 1,947 warga Filipina sudah dihantar pulang daripada keseluruhan 3,085 tahanan PATI pelbagai warganegara yang dipindahkan ke negara asal masing-masing.

Sitti Saleha berkata, pihaknya turut menggesa majikan di negeri ini supaya menyertai program pendataan digital warga asing menerusi Sistem Pengurusan Bersepadu Pekerja Asing dan Bukan Pemastautin Negeri Sabah (S.W.I.M.S).

Katanya, sistem diperkenalkan kerajaan negeri itu bertujuan mengurus serta merekod keberadaan pekerja asing di Sabah selain membantu mengekang isu lambakan PATI dan penyalahgunaan dokumen.

“JIM Sabah tidak akan berkompromi terhadap mana-mana majikan yang melindungi pekerja asing tanpa dokumen sah.

“Majikan yang melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan tegas mengikut Akta Imigresen 1959/63 termasuk denda sehingga RM50,000, hukuman penjara dan sebatan,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama