Jeffrey, Shafie sepentas di perasmian Pesta Kaamatan Keningau isyarat awal kerjasama STAR, Warisan?

KOTA KINABALU: Kehadiran Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Jeffrey Kitingan bersama Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di pentas sama sempena sambutan Pesta Kaamatan di Keningau hari ini mencuri perhatian ramai menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Momen dua tokoh politik Sabah itu dilihat mesra ketika menghadiri majlis berkenaan pantas menjadi bualan dalam kalangan pemerhati politik dan penyokong parti, khususnya ketika landskap politik negeri dan nasional dilihat semakin dinamik.

Walaupun tiada kenyataan rasmi dikeluarkan mengenai sebarang bentuk kerjasama politik, kemunculan bersama Jeffrey dan Shafie dianggap memberi isyarat tersendiri dalam percaturan politik Sabah menjelang PRU16.

Pemerhati politik berpendapat, pertemuan tersebut berpotensi membuka ruang kepada kemungkinan jajaran politik baharu, lebih-lebih lagi selepas STAR mengambil pendirian untuk bergerak sendiri dalam pilihan raya sebelum ini.

Pada 2 Oktober tahun lalu, STAR bersama Parti Maju Sabah (SAPP) telah membuat keputusan keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan memilih untuk bertanding menggunakan lambang parti masing-masing pada pilihan raya negeri lepas.

Keputusan itu diumumkan selepas Mesyuarat Majlis Presiden GRS yang dipengerusikan Pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di Sri Gaya, Kota Kinabalu.

Dalam perkembangan sama, Warisan yang dipimpin Shafie sebelum ini konsisten dengan pendirian bergerak secara bebas tanpa bergabung secara rasmi dengan mana-mana blok politik utama.

Justeru, kemunculan Jeffrey dan Mohd Shafie di pentas sama sempena sambutan Kaamatan kali ini dilihat terus mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan wujudnya persefahaman politik tertentu pada peringkat awal antara kedua-dua parti menjelang PRU16.

Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat oleh STAR mahupun Warisan berhubung sebarang bentuk kerjasama politik.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama