KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) tidak mengenakan sebarang tindakan terhadap kumpulan mahasiswa dikenali sebagai ‘Suara Mahasiswa UMS’ susulan penglibatan mereka dalam perhimpunan membantah perobohan struktur haram di Matunggong, Kudat.
Sebaliknya, pengurusan universiti hanya mengeluarkan kenyataan berbentuk peringatan dan panduan supaya mahasiswa lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan aktiviti luar kampus.
Dalam kenyataan media hari ini, UMS memaklumkan sebarang kenyataan, tindakan atau pendirian yang dibuat kumpulan berkenaan adalah atas kapasiti peribadi dan tidak mewakili pendirian rasmi universiti.
Menurut UMS, pihak universiti menghormati hak kebebasan bersuara dan kebebasan akademik mahasiswa, namun pelaksanaannya perlu dibuat secara bertanggungjawab serta mematuhi undang-undang dan peraturan universiti.
“UMS sentiasa mengingatkan mahasiswa agar setiap program aktivisme, kesedaran awam atau khidmat komuniti di luar kampus hendaklah berpaksikan fakta sahih serta mematuhi lunas undang-undang negara,” menurut kenyataan itu.
Universiti turut menasihatkan mahasiswa supaya menjaga nama baik institusi selain menghormati adat resam dan sensitiviti masyarakat setempat ketika menjalankan aktiviti komuniti.
Bagaimanapun, kenyataan berkenaan tidak menyebut sebarang bentuk tindakan disiplin atau siasatan terhadap kumpulan mahasiswa terbabit.
Sebaliknya, UMS hanya menyeru mahasiswa agar terus mengamalkan sikap berdisiplin, berintegriti dan bertanggungjawab dalam setiap tindakan.
Terdahulu, kumpulan yang menggunakan nama ‘Suara Mahasiswa UMS’ dilaporkan turun ke Kampung Asaon, Matunggong bagi menyatakan solidariti terhadap isu tanah yang didakwa dihadapi penduduk di kawasan berkenaan.
Perkembangan itu turut mencetuskan perhatian ramai selepas beberapa klip video memaparkan situasi tegang antara kumpulan terbabit dan pihak berkuasa tular di media sosial.
