TAWAU: Seorang lelaki bertindak mengamuk dan mengugut ahli keluarganya menggunakan sebilah pisau selepas gagal mendapatkan wang RM5 untuk membeli rokok dalam kejadian di Kampung Haji Matahir, Jalan Merotai Besar, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, suspek lelaki tempatan berusia 30 tahun dipercayai hilang kawalan selepas ibunya enggan memenuhi permintaannya untuk mendapatkan wang tambahan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sebelum kejadian ibu suspek sudah memberikan RM2, namun lelaki terbabit dipercayai tidak berpuas hati lalu bertindak agresif.
“Suspek menendang perabot rumah sambil mengeluarkan kata-kata ugutan terhadap ahli keluarganya.
“Keadaan menjadi semakin tegang apabila suspek turut bertengkar dengan adiknya sehingga berlaku pergaduhan antara mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, suspek kemudian naik semula ke rumah sebelum mengambil sebilah pisau pemotong daging dan merosakkan bahagian pemegang motosikal menggunakan senjata berkenaan.
Katanya, ibu suspek yang bimbang keselamatan diri serta ahli keluarga lain bertindak membawa keluar seorang lagi anaknya sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Bombalai.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai berjaya menahan suspek kira-kira jam 8.30 malam pada hari sama di hadapan sebuah rumah di kampung berkenaan.
“Polis turut merampas sebilah pisau pemotong daging yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu untuk siasatan lanjut,” katanya.
Jasmin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.
.png)