KOTA KINABALU: Pemuda Parti Gagasan Rakyat menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan Kerajaan Sabah menangguhkan pelaksanaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di negeri ini demi mempertahankan hak autonomi imigresen Sabah.
Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Datuk Azrul Ibrahim berkata, keputusan dibuat Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor membuktikan ketegasan dan komitmen kerajaan negeri dalam mempertahankan hak Sabah seperti termaktub dalam Malaysia Agreement 1963 (MA63).
Katanya, sebarang pelaksanaan dasar berkaitan kawalan sempadan dan imigresen di Sabah perlu dilakukan secara teliti serta berpandukan undang-undang sedia ada supaya tidak menjejaskan bidang kuasa negeri.
“Pemuda Gagasan Rakyat berpandangan bahawa kuasa autonomi imigresen Sabah adalah hak istimewa negeri yang perlu dipelihara sepenuhnya.
“Pelaksanaan AKPS juga perlu diperhalusi agar tidak berlaku sebarang penghakisan terhadap kuasa dan hak Sabah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, aspek keselamatan sempadan dan pengurusan imigresen sememangnya perlu diperkasakan demi menjaga keselamatan serta kestabilan negeri.
Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan dasar berkaitan hendaklah menghormati hak dan kuasa negeri yang diperuntukkan dalam Perlembagaan serta MA63.
Azrul berkata, pihaknya yakin pendekatan tegas tetapi berhemah yang diambil kerajaan negeri mampu memastikan kepentingan Sabah terus terpelihara tanpa menjejaskan keperluan penguatkuasaan di pintu masuk negeri.
“Pemuda Gagasan Rakyat akan terus berdiri teguh bersama kepimpinan kerajaan negeri dalam mempertahankan hak Sabah serta memastikan setiap dasar yang melibatkan negeri ini dilaksanakan dengan semangat Persekutuan yang menghormati autonomi Sabah,” katanya.
