28 warga asing ditahan dalam operasi JIM Sabah

KOTA KINABALU: Seramai 28 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam beberapa operasi penguatkuasaan yang dijalankan di Keningau, Kota Kinabalu dan Kudat.

Pengarah JIM Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi terbabit dilaksanakan menerusi Ops Sapu, Ops Belanja dan Ops Pintu bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini.

Menurutnya, di Keningau, Ops Sapu yang dijalankan memeriksa seramai 92 individu sebelum menahan 16 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen.

“Tangkapan membabitkan warga Filipina iaitu seorang lelaki dewasa, dua wanita dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.

“Turut ditahan warga Indonesia membabitkan lima lelaki dewasa, dua wanita dewasa, tiga kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, semua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan melanggar syarat pas.

Sementara itu, katanya, operasi di Kota Kinabalu menerusi Ops Sapu, Ops Belanja dan Ops Pintu memeriksa 22 individu dengan enam warga asing ditahan.

“Tangkapan di Kota Kinabalu membabitkan warga Filipina, Indonesia, Pakistan dan Korea. 

"Di Kudat pula, Ops Sapu memeriksa 24 individu dan menahan enam warga Filipina terdiri daripada dua lelaki dewasa, dua wanita dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan," katanya. 

Sitti Saleha berkata, JIM Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan undang-undang imigresen negara dipatuhi.

“Operasi seperti ini akan diteruskan dalam usaha membanteras kehadiran PATI selain memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya. 


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama