Gajah Borneo mati dipercayai jadi mangsa pemburu haram di Tongod

TONGOD: Seekor gajah Pygmy Borneo ditemui mati dalam keadaan mencurigakan di kawasan hutan nurseri, Hutan Simpan Sungai Pinangah, Tongod, dipercayai berkaitan kes jenayah hidupan liar.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, kejadian itu amat membimbangkan dan pihaknya memandang serius insiden berkenaan yang dikesan pada 18 Mei lalu.

Katanya, siasatan awal Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD) mendapati operasi pemeriksaan dilakukan antara jam 12.13 tengah hari hingga 3.30 petang di lokasi kejadian dengan bantuan Pasukan Komuniti (Community Rangers) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Semalam kira-kira jam 8.25 pagi, pasukan hidupan liar di Kinabatangan menerima aduan mengenai penemuan bangkai gajah yang dipercayai terlibat dalam kes jenayah hidupan liar.

“Sebelum itu, pada Ahad lepas sekitar jam 5.30 petang, kakitangan ladang di Tongod dilaporkan terdengar bunyi kuat seperti letupan, namun tidak dapat menjalankan pemeriksaan segera akibat hujan lebat sepanjang malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keesokan harinya kira-kira jam 6.30 pagi, pengurus ladang bersama kakitangan melakukan pemantauan sebelum menemui bangkai seekor gajah jantan Borneo dengan ketinggian kira-kira 2.9 meter.

Katanya, hasil pemeriksaan awal mendapati bahagian muka dan mulut haiwan itu dipotong berbentuk L menggunakan objek tajam, manakala gadingnya dipercayai telah dipotong dan hilang.

“Tiada kesan tembakan ditemui setakat ini pada bahagian badan yang diperiksa, namun siasatan lanjut masih diteruskan termasuk proses bedah siasat.

“Keadaan hujan lebat ketika kejadian turut menyukarkan usaha mengesan bukti di lokasi,” katanya.

Jafry berkata, punca kematian masih dalam siasatan dan Jabatan Hidupan Liar Sabah akan meneruskan siasatan terperinci serta memperkukuh rondaan di kawasan berisiko tinggi.

Beliau menegaskan, sekiranya siasatan mengesahkan berlaku aktiviti pemburuan haram atau pemotongan gading secara tidak sah, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap pihak terbabit.

“Gajah Borneo adalah spesies terancam dan ikon penting biodiversiti Sabah. Sebarang ancaman terhadap spesies ini tidak boleh diterima sama sekali,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat agar tampil membantu siasatan bagi memastikan pelaku dapat dikenal pasti dan diambil tindakan sewajarnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama