Empat ditahan halang operasi roboh struktur haram di Matunggong

KUDAT: Empat individu ditahan polis selepas dipercayai menghalang penjawat awam ketika operasi merobohkan struktur binaan di atas tanah simpanan kerajaan di tapak tambahan Pekan Baru Matunggong, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, operasi dijalankan oleh Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Kudat dengan kerjasama beberapa agensi termasuk polis.

Ketua Polis Daerah Kudat, Superintenden Mohd Haris Ibrahim berkata, operasi berkenaan turut dihadiri beberapa pelajar Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta penduduk kampung di lokasi kejadian.

Menurutnya, polis melaksanakan kawalan keselamatan bagi memastikan keadaan terkawal dan operasi berjalan lancar.

“Bagaimanapun, empat individu ditahan selepas dipercayai menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas ketika operasi dijalankan.

“Sebelum tindakan penahanan dibuat, polis sudah memberikan nasihat dan amaran supaya semua pihak memberi kerjasama serta mengosongkan kawasan perobohan bagi melancarkan tugas penguat kuasa,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Beliau berkata, arahan itu bagaimanapun tidak dipatuhi apabila berlaku provokasi dan tindakan menghalang penjawat awam semasa menjalankan tugas.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Dalam insiden sama, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dilaporkan cedera di bahagian kepala selepas terjatuh.

“Mangsa dihantar ke Hospital Kudat untuk menerima rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Mohd Haris turut menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak melanggar undang-undang selain mengelakkan sebarang kenyataan atau komen di media sosial yang boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama