Dyann tampilkan keunikan baju Labuk sebagai simbol perpaduan komuniti

KOTA KINABALU: Keunikan Baju Labuk yang sarat dengan simbolik perpaduan dan identiti budaya komuniti Dusun Labuk menjadi antara tarikan dalam pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) 2026 tahun ini.

Finalis Unduk Ngadau Beluran, Dyann Dharlla Dominic, 25 tahun berkata, busana tradisional yang digayakannya bukan sekadar pakaian warisan, malah melambangkan hubungan erat antara pelbagai subetnik dalam komuniti Dusun Labuk di Beluran dan Telupid.

Menurutnya, Baju Labuk yang disulam tangan menggunakan empat warna utama iaitu biru, merah jambu, kuning dan hijau membawa maksud tersendiri kepada masyarakat Dusun Labuk.

“Empat warna ini melambangkan kepelbagaian suku dalam komuniti Dusun Labuk seperti Putih, Sogilitan, Tompulung, Tindakon dan Turavid.

“Dalam komuniti Dusun Labuk, warna biru dan hijau dipanggil ‘otomou’.

“Walaupun setiap suku mempunyai adat dan kepercayaan tersendiri, kami tetap berkongsi persamaan budaya terutama dari segi bahasa dan muzik tradisional,” kata Dyann yang merupakan antara 53 finalis pertandingan akhir UNK 2026. 

Dyann yang juga seorang jururawat berkata, bunga berwarna hijau dan kuning pada bahagian hadapan pakaian yang disambungkan dengan tangkai menjadi simbol hubungan kekeluargaan dan semangat kebersamaan dalam komuniti tersebut.

“Baju Labuk bukan sekadar pakaian tradisi, tetapi membawa identiti dan nilai masyarakat Dusun Labuk.

“Semakin saya mendalami makna di sebalik setiap warna dan sulaman ini, semakin saya memahami pentingnya menghormati antara satu sama lain serta mengekalkan semangat perpaduan dalam komuniti,” ujarnya.

Dyann turut berkongsi bahawa unsur budaya pada Baju Labuk turut diterapkan pada rekaan mahkota Unduk Ngadau Beluran yang digayakannya sepanjang pertandingan itu.

Tambahnya lagi, pemakaian Sabung Labuk turut dilengkapi aksesori tradisional seperti ‘kambot’, ‘simpagot’, ‘simbong’, ‘kalung’ dan ‘golong sulau’ yang menyerlahkan lagi keunikan busana warisan masyarakat itu.

Pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan merupakan acara tahunan yang menjadi platform memperkasakan wanita muda sebagai duta budaya dan warisan masyarakat Kadazandusun Murut dan Rungus (KDMR) di Sabah.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama