KOTA KINABALU: Kira-kira 80 warga pendidik dari beberapa daerah di Sabah memeriahkan gelanggang pickleball dalam satu program santai yang bukan sahaja meraikan sambutan Hari Guru, malah memperkukuh hubungan serta jaringan kerjasama dalam komuniti pendidikan.
Program berkenaan menghimpunkan guru, pengetua, guru besar serta pegawai daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), termasuk dari Ranau dan Keningau.
Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS), Datuk Mohammad Arif Tun Sakaran berkata, penganjuran itu adalah sebahagian usaha menghargai jasa pendidik sempena Hari Guru yang disambut pada 16 Mei setiap tahun.
“Selain meraikan Hari Guru, program seperti ini menjadi platform terbaik untuk mengeratkan silaturahim antara pendidik dan komuniti, di samping membuka ruang kolaborasi lebih luas dalam membincangkan isu pendidikan,” katanya ketika ditemui pada Program Gerakan Massa Pickleball Series, hari ini.
Menurutnya, aktiviti sukan seperti pickleball turut memberi manfaat dari aspek kesihatan fizikal dan mental, sekali gus membantu mewujudkan persekitaran kerja lebih positif dalam kalangan warga pendidikan.
“Bersukan bukan sahaja memupuk semangat kesukanan, tetapi turut membantu membina minda sihat. Ini penting bagi memastikan kesejahteraan menyeluruh dalam kalangan pendidik,” katanya.
Program itu merupakan siri kedua selepas penganjuran terdahulu di Kolombong dan mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta pelbagai daerah.
Dalam perkembangan sama, pihak penganjur merancang untuk memperluaskan program seumpama itu ke daerah lain di Sabah dengan kerjasama komuniti serta organisasi pendidikan tempatan.
“Usaha ini akan diteruskan di peringkat daerah bagi memperkukuh hubungan antara komuniti dan warga pendidik, demi kepentingan pembangunan pendidikan generasi akan datang,” katanya.
Inisiatif itu dilihat sebagai langkah proaktif dalam mengukuhkan jaringan kerjasama antara komuniti dan institusi pendidikan, selari dengan usaha melahirkan generasi masa depan yang holistik.
