Curi kabel gagal, dua suspek kini berdepan tuduhan cubaan bunuh polis

Foto Unit Risikan Sukarelawan Awam.

KOTA KINABALU: Cubaan dua lelaki mencuri kabel telekomunikasi di Jalan Tuaran berhampiran Jabatan Audit, di sini, awal pagi tadi, bukan sahaja gagal malah membawa padah apabila mereka kini berdepan siasatan cubaan membunuh anggota polis.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.13 pagi itu, suspek dipercayai cuba merempuh anggota polis ketika melarikan diri selepas kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, kejadian berlaku ketika anggota polis bersama kakitangan Telekom Malaysia menjalankan rondaan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, dua kenderaan dalam keadaan mencurigakan dikesan berhampiran sebuah ‘mainhole’ milik Telekom Malaysia sebelum pemeriksaan dijalankan.

“Hasil pemeriksaan mendapati beberapa individu sedang menjalankan kerja pemotongan kabel telekomunikasi di dalam ‘mainhole’ tersebut.

“Suspek kemudian melarikan diri menggunakan sebuah Toyota Hilux dan sebuah van Toyota Hiace selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata, semasa cubaan meloloskan diri, pemandu Toyota Hilux dipercayai bertindak agresif dengan cuba merempuh anggota polis yang cuba menghalang laluan.

“Tindakan suspek membahayakan keselamatan anggota polis yang sedang menjalankan tugas,” katanya.

Menurutnya, polis berjaya menahan Toyota Hilux terbabit selepas kenderaan itu terbabas berhampiran Jalan Likas dekat stesen minyak Shell Likas.

Katanya, dua lelaki tempatan berjaya ditahan manakala sebuah van Hiace masih berjaya melarikan diri dan kini sedang dikesan.

“Turut dirampas satu unit alat pemotong kabel yang dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah tersebut.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kabel milik Telekom Malaysia sudah dipotong namun belum sempat dibawa keluar dari lokasi kejadian,” katanya.

Syed Lot berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau van Hiace yang melarikan diri diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Kota Kinabalu atau pegawai penyiasat, Insp Saiful Azri Ismail di talian 014-6115879.

“Polis Daerah Kota Kinabalu akan terus mempergiat operasi membanteras kegiatan curi kabel yang boleh menjejaskan sistem komunikasi awam dan keselamatan infrastruktur negara,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama