KOTA KINABALU: Kejayaan meraih lima pingat emas pada Temasya ASEAN Para Games Thailand 2025 membolehkan atlet para renang Sabah, Abdul Halim Mohammad menerima insentif kemenangan berjumlah RM54,000.
Insentif itu disampaikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor pada Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Temasya Sukan SEA Ke-33 dan Temasya Para ASEAN Ke-13 Thailand 2025 di sini.
Lebih membanggakan, atlet berusia 29 tahun dari Kampung Baru-Baru, Tuaran itu turut menyumbang satu pingat perak dan satu gangsa menerusi acara berpasukan untuk kontinjen negara.
Abdul Halim yang beraksi dalam kategori S8 (gaya bebas), SB8 (gaya dada) dan SM8 (rampaian individu) berkata, kejayaan diraih membuktikan atlet orang kurang upaya (OKU) juga mampu bersaing di pentas antarabangsa.
Katanya, dia mula mengenali sukan para sejak usia 10 tahun sebelum serius dalam acara renang ketika berumur 19 tahun.
“Saya mula aktif dalam sukan renang sehingga sekarang dan mula mewakili Malaysia pada tahun 2022.
“Penyertaan pertama saya di ASEAN Para Games di Solo, kemudian di Kemboja dan terbaru di Thailand,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.
Menurutnya, sukan bukan sekadar aktiviti riadah, malah menjadi peluang untuk mengubah kehidupan golongan OKU.
“Saya nampak sukan sebagai satu peluang kerana golongan OKU kadang-kadang sukar mendapatkan pekerjaan di luar sana.
“Saya cuba bersungguh-sungguh, nampak potensi dan terus konsisten sehingga hari ini,” katanya.
Abdul Halim berkata, sokongan keluarga dan bantuan Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah banyak membantu perkembangan kariernya sebagai atlet para negara.
Katanya, setiap individu mempunyai kekurangan tersendiri, namun ia bukan alasan untuk berhenti mengejar kejayaan.
“Jangan takut mencuba benda baharu dan jangan mudah putus asa. Fokus pada kelebihan yang ada kerana di situlah peluang untuk berjaya,” katanya.
