Bom ikan rosakkan tapak restorasi terumbu karang di Semporna

SEMPORNA:  Aktiviti pengeboman ikan di kawasan Tapak Restorasi Terumbu Karang Pulau Selakan, Taman Marin Tun Sakaran (TMTS) di sini mengakibatkan kemusnahan serius terhadap ekosistem marin serta kerugian dianggarkan hampir RM100,000.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, kejadian itu dipandang serius kerana menjejaskan usaha pemuliharaan terumbu karang yang dibangunkan secara berterusan sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, maklumat awal mengenai kejadian diterima daripada Ranger Kehormat Taman pada 23 Mei lalu kira-kira jam 11.40 pagi, namun suspek dipercayai berjaya melarikan diri sebelum ketibaan pasukan penguatkuasaan TMTS.

“Hasil pemantauan awal oleh Community Marine Conservation Group (CMCG) mendapati terdapat dua kawah dipercayai berpunca daripada letupan bom ikan di kawasan restorasi berkenaan.

“Pemantauan lanjut yang dijalankan pada 25 Mei oleh Unit Penyelidikan Marin TMTS bersama Reef Check Malaysia dan CMCG mengesahkan insiden itu menyebabkan kerosakan serius terhadap ekosistem marin,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata, penilaian lapangan mendapati sekurang-kurangnya 10 struktur reef star terjejas membabitkan keluasan kira-kira 15 meter persegi atau 2.91 peratus daripada keseluruhan kawasan restorasi.

Katanya, antara spesies karang yang terkesan ialah Acropora, Pocillopora, Fimbryphyllia, Montipora, Porites dan Plerogyra yang dipulihara menerusi pelbagai usaha restorasi sejak dua tahun lalu.

“Anggaran awal menunjukkan kos penyelenggaraan dan pemulihan kawasan yang terjejas mencecah RM96,000, selain kerosakan struktur reef star dianggarkan bernilai RM3,000,” katanya.

Jafry berkata, insiden itu amat membimbangkan kerana bukan sahaja memusnahkan hasil usaha pemuliharaan marin, malah mengancam kelestarian sumber perikanan, biodiversiti marin dan keselamatan pelancong.

Beliau berkata, kejadian itu turut berpotensi menjejaskan imej Sabah sebagai destinasi pelancongan alam semula jadi bertaraf antarabangsa.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan keluasan kawasan perairan TMTS yang mempunyai sempadan laut terbuka, kekangan aset penguatkuasaan termasuk bot serta ketiadaan substesen atau pos kawalan tetap di Pulau Selakan antara cabaran utama dalam memperkukuhkan tindakan balas pantas di lapangan.

Sehubungan itu, katanya, pihak pengurusan Taman-Taman Sabah diminta meneliti langkah strategik termasuk memperkukuh aspek aset dan logistik, penggunaan teknologi dron serta meningkatkan kehadiran anggota penguat kuasa di kawasan berisiko tinggi.

“Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pencerobohan dan aktiviti yang mengancam kelestarian sumber semula jadi di kawasan perlindungan.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang berkaitan demi memastikan khazanah biodiversiti Sabah terus terpelihara untuk generasi akan datang,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama