Bola Sepak U-12 Jadi platform lahir bakat muda, kukuh sahsiah pelajar

KOTA KINABALU: Penganjuran Kejohanan Bola Sepak Bawah 12 Tahun di daerah ini terus dilihat sebagai platform penting dalam mencungkil bakat muda serta memperkukuh pembangunan sahsiah pelajar melalui penglibatan aktif dalam bidang sukan dan kokurikulum.

Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS), Datuk Mohammad Arif Tun Sakaran berkata, program seumpama itu bukan sahaja memberi ruang kepada pelajar untuk menyerlah dalam sukan, malah selari dengan aspirasi pendidikan negara yang menekankan pembangunan bakat murid dalam kerangka Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035.

Menurutnya, penglibatan pelajar dalam aktiviti sukan perlu terus diperkasakan kerana ia menjadi antara elemen penting dalam pembentukan sahsiah, disiplin serta jati diri generasi muda.

“Penganjuran program ini satu inisiatif yang sangat baik. Kita dapat lihat peranan penting dalam mengasah bakat pelajar. Sukan juga wajar diketengahkan dalam pembangunan pendidikan selaras dengan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kejohanan Bola Sepak Bawah 12 Tahun Peringkat OK9 Tanjung Aru di sini.

Tambahnya, platform seperti kejohanan tersebut memberi peluang kepada pelajar membina disiplin, semangat berpasukan serta keyakinan diri yang tinggi.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai inisiatif Lesen B2 Percuma kepada 60,000 pelajar B40 yang disifatkan sebagai langkah positif dalam membantu golongan pelajar memperoleh lesen memandu secara sah sejak awal.

Katanya, program itu bukan sahaja memudahkan pelajar, malah turut menyumbang kepada aspek keselamatan jalan raya serta perlindungan insurans.

“Mengenai lesen percuma ini, ia satu inisiatif yang sangat baik kerana dapat mengurangkan pelajar yang tidak mempunyai lesen. Apabila mereka ada lesen, lebih terjamin dari segi keselamatan dan perlindungan insurans,” jelasnya.

Beliau menambah, usaha tersebut juga berupaya membantu mengurangkan gejala tidak sihat seperti aktiviti ‘rempit’ dalam kalangan remaja apabila mereka diberikan saluran yang betul untuk mendapatkan lesen secara sah.

“Saya sangat menyokong program ini dan berharap ia dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pelajar yang telah memiliki lesen agar sentiasa bertanggungjawab di jalan raya serta mengutamakan keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.

“Keselamatan bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga untuk masyarakat. Ini tanggungjawab bersama bagi memastikan kadar kemalangan dapat dikurangkan,” ujarnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama