5 dicekup, cubaan pindah minyak sawit haram gagal

SANDAKAN: Taktik licik memindahkan minyak sawit mentah secara haram pada waktu malam terbongkar selepas lima individu diberkas dalam operasi di perairan Sandakan, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan menahan sebuah barge dan sebuah bot kargo kecil yang disyaki terbabit dalam aktiviti berkenaan.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, tindakan diambil hasil maklumat awam ketika bot peronda menjalankan rondaan rutin.

“Hasil maklumat diterima, pasukan operasi mengesan sebuah barge dalam keadaan mencurigakan kira-kira 0.10 batu nautika selatan Bandar Leila.

“Pemeriksaan lanjut mendapati aktiviti pemindahan minyak sawit mentah sedang dilakukan ke sebuah bot kargo kecil menggunakan pam kargo,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, beberapa individu cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, namun berjaya dipatahkan anggota penguat kuasa.

“Hasil pemeriksaan mendapati kira-kira tujuh tan minyak sawit mentah sudah dipindahkan ke dalam tangki bot kargo kecil, manakala baki dianggarkan tiga tan masih berada dalam barge,” katanya.

Beliau berkata, seramai empat lelaki tempatan bersama seorang warga Filipina berusia antara 29 hingga 48 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, kedua-dua vesel bersama muatan dianggarkan bernilai RM2.08 juta diiring masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk siasatan lanjut dengan kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

“Maritim Malaysia akan terus memperketat rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras sebarang pelanggaran undang-undang di perairan negara. 

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau 999 bagi tindakan segera," katanya


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama