53 Peserta Berentap Rebut Mahkota Unduk Ngadau Kaamatan 2026

 

KOTA KINABALU : Seramai 53 peserta bakal berentap bagi merebut gelaran berprestij Unduk Ngadau Kaamatan 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 30 dan 31 Mei ini.

Pengerusi Jawatankuasa Unduk Ngadau Peringkat Negeri, Dr. Mary Gambidau berkata, segala persiapan rapi telah diatur bagi memastikan acara kemuncak sempena sambutan Pesta Kaamatan peringkat negeri itu berjalan lancar.

"Pertandingan ikonik yang kini melangkah ke edisi ke-66 itu kekal utuh sebagai platform utama dalam mengangkat kecantikan, kebijaksanaan, serta jati diri wanita Sabah, sekali gus memelihara warisan budaya tinggi masyarakat tempatan.

"Secara keseluruhannya jawatankuasa Unduk Ngadau 2026 kini berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi bagi memastikan penganjuran kali ini berjalan dengan gilang-gemilang," katanya kepada media selepas sesi temu bual di konti SabahFM, Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi di sini, pada Rabu.

Mengulas mengenai kelainan tahun ini, Dr. Mary mendedahkan bahawa pertandingan tampil dengan penambahbaikan signifikan menerusi pelaksanaan proses penilaian awal sebelum malam kemuncak.

Langkah tersebut, jelasnya, bertujuan memberi ruang kepada barisan juri untuk mengenali dengan lebih dekat personaliti, penampilan, serta persediaan setiap finalis sebelum penilaian akhir bermula pada 31 Mei.

"Penilaian awal ini merupakan usaha berterusan kami untuk menambahbaik mutu penganjuran pertandingan yang menjadi simbol kebanggaan serta tradisi masyarakat Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR) di Sabah," tambahnya.

Dalam pada itu, beliau turut berpesan agar semua finalis memanfaatkan peluang keemasan ini dengan mempamerkan persembahan terbaik demi merealisasikan impian masing-masing.

Dr. Mary juga menyeru masyarakat agar terus memberikan sokongan padu kepada para peserta, terutamanya di platform media sosial, dengan menitipkan kata-kata yang akan meningkatkan motivasi para finalis.

"Di samping sokongan padu, saya memohon agar masyarakat memberikan komen yang membina, sekali gus menyuntik semangat dan motivasi tinggi kepada para Unduk Ngadau kita," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama