53 peserta bakal rebut gelaran Unduk Ngadau Kaamatan 2026

Barisan finalis Unduk Ngadau Kaamatan 2026.

KOTA KINABALU: Seramai 53 finalis dari seluruh Sabah, cawangan KDCA serta Semenanjung Malaysia bakal berentap merebut gelaran Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 pada malam kemuncak yang dijadual berlangsung di Dewan Hongkod Koisaan (KDCA) 31 Mei ini.

Pengerusi Jawatankuasa Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026, Dr. Mary Gambidau berkata, kesemua finalis akan berkampung di Hotel Hilton bermula hari ini bagi menjalani pelbagai sesi penilaian, aktiviti serta program sepanjang minggu Unduk Ngadau Kaamatan.

Katanya, pertandingan tahun ini tampil dengan beberapa pembaharuan termasuk sistem penilaian dua peringkat dan penambahan jumlah finalis yang mara ke pusingan seterusnya daripada 15 kepada 25 peserta.

“Penambahbaikan ini diperkenalkan bagi memberi lebih ruang dan peluang kepada para peserta untuk menyerlahkan potensi, personaliti serta kemampuan masing-masing,” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026, di sini, pada Selasa.

Menurut Mary, penilaian awal akan dijalankan sepanjang minggu pertandingan melibatkan aspek penampilan, disiplin serta sesi soal jawab berkaitan budaya dan adat.

“Para finalis juga akan menyertai pertandingan filem pendek atau reel bertemakan ‘Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian’,” jelasnya.

Bagi memastikan ketelusan penghakiman, pihak penganjur turut memperkenalkan rubrik pemarkahan khusus sebagai panduan rasmi kepada barisan juri.

“Pemenang Unduk Ngadau Kaamatan 2026 bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 selain tajaan biasiswa pendidikan, saringan kesihatan, produk kecantikan dan pelbagai hadiah menarik lain daripada penaja serta rakan strategik pertandingan,” ujar beliau. 


Menariknya tahun ini, pertandingan turut menyaksikan dua finalis kembar akan berentap sesama sendiri di mana, Candycycu Liakim mewakili daerah Paitan, manakala kembarnya, Caesyzizi Liakim, mewakili Lahad Datu.

Unduk Ngadau Kaamatan bukan sekadar pertandingan kecantikan, sebaliknya menjadi platform memperkasa wanita muda sebagai duta budaya, warisan dan komuniti masyarakat Sabah.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama