TAWAU: Seorang lelaki tempatan ditahan selepas disyaki menyimpan dan membawa minyak diesel bersubsidi tanpa permit dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Batu 3, Jalan Apas, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, serbuan kira-kira jam 4.40 petang itu dijalankan sepasukan Task Force Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau hasil risikan dan maklumat awam.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati lelaki berusia 50 tahun itu gagal mengemukakan sebarang lesen atau permit bagi memiliki kira-kira 300 liter minyak diesel bersubsidi.
“Pemeriksaan lanjut turut menemui sebuah tangki minyak jenis fiber yang diubah suai dipercayai digunakan untuk menyimpan bahan api berkenaan.
"Turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu Trooper, anak kunci serta tangki yang diubah suai," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM11,445 membabitkan kenderaan, minyak diesel dan peralatan.
"Kesemua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Sara Hidup Cawangan Tawau untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan kerana tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.
“Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada pihak polis termasuk melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol bagi membantu membanteras kegiatan ini,” katanya.
