KOTA KINABALU : Seramai 477 pelajar di Parlimen Sepanggar
menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Madani Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun
2025 sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian akademik mereka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak),
Datuk Ts Mustapha Sakmud berkata penerima terdiri daripada pelajar yang
memperoleh keputusan 6A hingga 12A dalam peperiksaan masing-masing.
Beliau berkata program itu turut memperlihatkan peningkatan
keberkesanan inisiatif Tuisyen Madani percuma yang dilaksanakan di kawasan
berkenaan.
"Kita berasa gembira kerana seramai 80 pelajar mendapat
keputusan agak baik setelah menjalani Tuisyen Madani yang kita adakan secara
percuma di Parlimen sepanggar berbanding 12 pelajar pada tahun lepas.
"Ini bermakna program ini berkesan dan perkara ini kita
panjangkan ke sekolah-sekolah berhampiran yang memerlukan.
"Selain itu juga, kepada anak-anak yang tinggal di
sekitar kawasan Sepanggar, apabila mendapat surat tawaran melanjutkan pelajaran
nanti, mohon maklumkan kepada Pejabat Parlimen kerana ada disediakan insentif
one-off.
"Insentif ini terbuka kepada semua yang layak sama ada
tawaran daripada universiti awam, swasta dan institusi TVET.
"Hanya perlu maklumkan Pejabat Parlimen Sepanggar dan
sertakan surat tawaran," katanya ketika ditemui media selepas Majlis
Anugerah Pelajar Cemerlang Madani SPM Tahun 2025 di Dewan Rafflesia Politeknik
Kota Kinabalu di sini, pada Isnin.
Dalam perkembangan lain, Mustapha yang juga Ahli Parlimen
Sepanggar berkata isu berkaitan Akta Kawalan Perkhidmatan dan Sistem (AKPS)
perlu diperhalusi susulan kekeliruan yang timbul melibatkan pelaksanaannya di
Sabah.
"Saya telah menerima kunjungan Kesatuan Jabatan
Imigresen Sabah dan saya juga telah meminta taklimat daripada Badan Hal Ehwal
Sabah Sarawak berkenaan isu ini dan memang didapati ada sedikit kekeliruan
dalam akta ini yang perlu diperhalusi.
"Oleh itu, saya minta supaya diadakan sesi libat urus
antara agensi yang berkaitan dan kalau perlu, kita minta supaya kerajaan negeri
untuk bawa perkara ini ke Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63.
"Bagi saya, isu-isi imigresen ini perlu dihormati dan
kita akan pastikan isu ini kekal di bawah kerajaan negeri seperti yang
termaktub dalam MA63," tambahnya.
Beliau berkata sekiranya perkara itu masih gagal
diselesaikan di peringkat jawatankuasa teknikal, isu berkenaan boleh dibawa ke
Jawatankuasa Induk MA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri.
Dalam majlis yang sama, turut disampaikan beberapa anugerah
lain antaranya Anugerah Sekolah Terbaik, Anugerah Anjakan Paradigma (Sekolah)
dan Anugerah Khas YB Mustapha Sakmud : Pelajar Terbaik.
Hadir sama, Pegawai
Pendidikan Daerah Kota Kinabalu, Johari @ Jaibet Sabin, wakil Pengarah
Politeknik Kota Kinabalu, Nirazmilah Sulaiman dan Pengarah Pejabat Parlimen
Sepanggar, Ahsim Jamat.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)

