![]() |
| 28 individu disyaki scammer didenda RM5000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret Tawau selepas masing-masing mengaku salah atas pertuduhan pakatan jenayah. Foto | SS |
TAWAU : 28 warga asing didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan terbabit dalam sindiket penipuan dalam talian membabitkan aktiviti ‘love scam’ dan pelaburan yang menyasarkan mangsa warga Korea Selatan.
Kesemua tertuduh terdiri daripada 27 warga China termasuk seorang wanita serta seorang wanita warga Vietnam berusia antara 21 hingga 59 tahun.
Mereka didakwa secara bersama melakukan pakatan jenayah bagi tujuan memperdaya mangsa menerusi penipuan dalam talian, iaitu kesalahan di bawah Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pada prosiding hari ini, 16 tertuduh lelaki dihadapkan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum, manakala 12 lagi termasuk dua wanita di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.
Kesemua tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin sebelum masing-masing dikenakan denda RM5,000.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara dua hingga empat bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan. Kesemua tertuduh menjelaskan denda tersebut dan seterusnya diperintahkan dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan penghantaran pulang ke negara asal.
Terdahulu, peguam Choong Wen Shan yang mewakili Vivian Thien memaklumkan bahawa kesemua tertuduh bersetuju untuk mengaku bersalah menerusi permohonan secara ‘plea bargain’ bagi menjimatkan masa mahkamah.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif berhujah supaya hukuman setimpal dikenakan dengan mengambil kira keseriusan kesalahan melibatkan pakatan jenayah terancang serta peningkatan kes penipuan dalam talian di negara ini.
Media sebelum ini melaporkan 28 individu terbabit ditahan dalam serbuan di empat banglo mewah di Batu 10, Jalan Apas, Tawau pada 6 Mei lalu menerusi operasi Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) bersama Strike Team dan Task Force Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) IPD Tawau.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas 33 telefon bimbit, tiga komputer riba dan dua modem WiFi yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan penipuan pelaburan dalam talian melalui aplikasi WhatsApp dan Kakao Talk dengan sasaran utama warga Korea Selatan.
