KPSTI perjelas isu sekolah daif di Sabah

KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI) menegaskan isu sekolah daif di negeri ini tidak seharusnya diputarbelitkan sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap sistem pendidikan Sabah.

Menterinya, James Ratib berkata, istilah 'sekolah daif' dan 'bangunan daif' adalah dua perkara berbeza serta tidak boleh disamakan.

Menurutnya, sekolah daif merujuk kepada keseluruhan sistem dan ekosistem pendidikan sesebuah sekolah termasuk aspek pembelajaran, capaian internet, pengurusan sekolah, akses pendidikan dan keberkesanan sistem persekolahan.

Katanya, bangunan daif pula hanya membabitkan keadaan fizikal bangunan sekolah yang memerlukan penyelenggaraan, baik pulih atau penambahbaikan tertentu.

“Tidak tepat untuk melabel keseluruhan sekolah sebagai daif hanya berdasarkan keadaan fizikal bangunan semata-mata.

“Ada sekolah yang memerlukan naik taraf bangunan namun masih mencatat prestasi akademik baik hasil komitmen guru dan pengurusan sekolah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian terhadap cabaran pendidikan di Sabah termasuk isu keciciran pelajar, capaian internet, pengangkutan serta kemudahan pendidikan di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Menurutnya, bagi memperkukuhkan akses pendidikan, kerajaan negeri memperkenalkan 14 inisiatif pendidikan melalui Pejabat Tugas-Tugas Khas di bawah KPSTI serta Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS).

Antara bantuan disediakan termasuk bantuan pendaftaran Institusi Pengajian Tinggi (IPT), bantuan komputer, bantuan peperiksaan, bantuan sekolah, bantuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), bantuan penyelenggaraan sekolah dan bantuan mahasiswa.

James berkata, KPSTI turut memohon peruntukan khas daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi pembelian smartboard untuk kegunaan sekolah di Sabah.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan murid di negeri ini tidak tercicir dalam arus pendigitalan pendidikan.

Dalam usaha memperkukuhkan kemahiran tenaga pengajar pula, beliau berkata KPSTI melaksanakan kursus percuma membabitkan empat Institut Pendidikan Guru (IPG) di Sabah selaras perkembangan pendidikan semasa dan teknologi baharu.

“Pada masa sama, projek pemasangan internet di sekolah luar bandar melalui kerjasama bersama YTL Corporation Berhad dilaporkan hampir 80 peratus siap.

“Kami juga memohon kepada Kementerian Pendidikan Malaysia supaya peruntukan pembinaan dan penyelenggaraan bangunan sekolah berskala enam dan tujuh ditambah kerana masih banyak bangunan sekolah lama memerlukan perhatian segera,” katanya.

Beliau berkata, KPSTI turut menyokong penggunaan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) menerusi platform DELIMa yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Sekiranya mendapat kelulusan, sekurang-kurangnya setiap sekolah akan menerima satu unit smartboard bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri akan terus komited memperjuangkan keperluan pendidikan demi memastikan anak Sabah mendapat akses pendidikan lebih baik dan berkualiti.

“Pendidikan membabitkan masa depan generasi muda dan tidak seharusnya dijadikan bahan politik demi kepentingan tertentu,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama