Warga Pantai Manis terima 90 unit Rumah Mesra SMJ - Pengiran

Pengiran (tengah) bersama Ghulam (kiri) dan Shah Alfie (kanan) pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua DUN ke-17, di sini. 

KOTA KINABALU: Masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Manis kini menikmati kediaman lebih selesa menerusi pelaksanaan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).

Bagi tempoh 2025 hingga 2026, sebanyak 80 unit Rumah Mesra SMJ telah diluluskan di kawasan itu, selain tambahan 10 unit khas untuk pasangan yang baru berkahwin.

Ahli DUN Pantai Manis, Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir berkata, inisiatif berkenaan membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam membantu golongan memerlukan memiliki rumah sendiri.

“Rumah bukan sekadar bangunan, tetapi tempat perlindungan keluarga, maruah hidup dan asas kepada kehidupan yang lebih stabil.

“Sejak program itu dilaksanakan pada 2022, sebanyak 100 unit Rumah Mesra SMJ telah siap sepenuhnya di Pantai Manis.

“Saya mewakili warga Pantai Manis mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri atas kasih dan ihsan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar di Mesyuarat Pertama Penggal Kedua DUN ke-17, di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau menegaskan pembangunan sebenar bukan hanya diukur melalui angka pelaburan, tetapi sejauh mana ia memberi manfaat terus kepada rakyat.

Katanya, keutamaan perlu terus diberikan kepada keperluan asas termasuk bekalan air, kemudahan jalan raya, peluang pekerjaan serta kesejahteraan keluarga.

Beliau turut menyentuh isu bekalan air di Papar yang masih berdepan cabaran termasuk masalah kandungan klorida tinggi atau air masin yang menjejaskan operasi loji rawatan.

“Saya menyokong pelaksanaan projek Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon II serta pembinaan muka sauk alternatif di Kampung Kabang sebagai langkah penting meningkatkan kapasiti dan kestabilan bekalan air,” jelasnya.

Sementara itu, beliau turut membangkitkan keperluan pembelaan nelayan kecil di Papar termasuk memperkukuh penguatkuasaan terhadap pencerobohan kapal komersial di kawasan tangkapan tradisional.

“Kemudahan asas nelayan seperti jeti, tempat pendaratan ikan dan stor peralatan juga perlu dipertingkat bagi membantu meningkatkan pendapatan komuniti pesisir,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau mencadangkan agar rangkaian jalan alternatif dan pembinaan jambatan baharu di Papar dipercepatkan bagi mengatasi kesesakan yang semakin meningkat.

Beliau turut menekankan potensi pembangunan ekonomi komuniti termasuk menghidupkan semula Pekan Lama Papar sebagai pusat pelancongan, budaya dan perniagaan tempatan.

Mengakhiri perbahasan, beliau berharap semua perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan cekap dan benar-benar sampai kepada rakyat.

“Bagi rakyat biasa, kejayaan kerajaan bukan pada pengumuman, tetapi apabila mereka dapat menikmati kemudahan dan kehidupan yang lebih baik,” tambahnya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama