TUARAN: Cubaan melarikan diri dipercayai oleh suspek kes kecurian kabel berakhir dengan kemalangan yang mengakibatkan lima individu cedera berhampiran Kampung Berungis, di sini awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Kurong Ak Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.44 pagi.
Menurutnya, sepasukan lapan anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi dan tiba kira-kira jam 5.01 pagi.
“Hasil pemeriksaan mendapati kemalangan membabitkan sebuah Toyota Hilux Vigo dan Isuzu Invader, dengan terdapat mangsa yang tersepit di dalam kenderaan.
“Toyota Hilux Vigo itu dipercayai suspek kes kecurian kabel yang sedang dikejar pihak polis sebelum cuba melarikan diri dan melanggar kenderaan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, empat individu berada dalam Toyota Hilux Vigo manakala seorang lagi mangsa ialah lelaki berusia 61 tahun dalam kenderaan Isuzu Invader.
Katanya, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan khas.
“Semua mangsa berjaya dikeluarkan dan diberikan rawatan awal oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.
Kurong berkata, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.34 pagi selepas pasukan memastikan keadaan di lokasi adalah selamat.
"Kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
