KOTA KINABALU : Itali berhasrat untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Sabah menerusi penerokaan peluang kerjasama baharu dalam sektor pelancongan, pendidikan tinggi, dan kesihatan awam.
Duta Itali ke Malaysia, Raffaele Langella berkata, Sabah kini semakin popular dan dikenali di Itali sebagai destinasi pelancongan utama, selain menarik minat dari sudut budaya dan potensi industrinya.
Menurut beliau, Itali berhasrat untuk meneroka peluang kolaborasi dalam sektor universiti serta pelancongan, selain membincangkan potensi pelaburan dalam bidang kesihatan awam.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Isnin.
Langella menjelaskan kunjungan tersebut adalah bertujuan untuk berbincang mengenai hasrat berkenaan seterusnya membentuk kerjasama yang lebih konkrit.
Menyentuh mengenai harapan masa hadapan, beliau berharap kunjungan ini akan membuka pintu kepada lebih banyak pertemuan pada masa hadapan bagi memperdalamkan lagi hubungan ekonomi dan diplomatik antara kedua-dua pihak.
Beliau menyatakan komitmen untuk kembali ke Kota Kinabalu dengan lebih kerap bagi memastikan setiap peluang kerjasama yang dikenal pasti dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi kepentingan bersama.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)
