Wanita maut, kereta terbabas sendiri di Bandar Sri Indah

 

TAWAU: Seorang wanita berusia 25 tahun maut selepas kereta dipandunya terbabas sendiri dalam kejadian kemalangan jalan raya di Bandar Sri Indah, di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 12.26 tengah hari.

Menurutnya, sepasukan enam anggota dari BBP Tawau bersama dua jentera bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 17 kilometer dari balai.

“Setibanya di lokasi pada jam 12.45 tengah hari, didapati kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Kenari yang dipercayai terbabas sendiri ke tepi jalan.

“Terdapat seorang mangsa wanita telah dikeluarkan lebih awal oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jemishin berkata, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh petugas KKM di lokasi kejadian.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Pasukan bomba hanya menjalankan pemantauan di lokasi bagi memastikan tiada sebarang bahaya lain.

"Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.22 petang," katanya


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama