KOTA KINABALU: Jabatan Perikanan Sabah mengarahkan semua spesies ikan koi (Cyprinus sp.) dikeluarkan segera dari kawasan tagal dan perairan umum di negeri ini bagi mengekang penularan penyakit berbahaya Koi Herpesvirus (KHV).
Pengarah Perikanan Sabah, Datin Dr. Shuhadah Mustapha berkata, arahan itu dikeluarkan susulan pengesanan kes positif KHV yang turut menjangkiti ikan tempatan khususnya spesies pelian (Tor sp.) di beberapa sungai tagal di Sabah.
Menurutnya, penyakit tersebut berisiko tinggi menyebabkan kematian ikan dalam jumlah besar selain mudah merebak dengan pantas sama ada di perairan tertutup mahupun terbuka.
“Ikan koi dikenal pasti sebagai perumah utama kepada virus KHV dan kehadirannya di kawasan tagal serta sungai tempatan memberi ancaman serius terhadap spesies ikan asli serta keseimbangan ekosistem,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ikan koi merupakan spesies pendatang yang bukan endemik di Sabah, sekali gus meningkatkan risiko penularan penyakit kepada hidupan akuatik tempatan.
Sehubungan itu, katanya, semua Pengerusi Jawatankuasa Tagal diarahkan mengenal pasti punca kehadiran ikan koi di kawasan masing-masing dan mengambil tindakan segera untuk mengeluarkan spesies berkenaan dari sungai, kolam serta mana-mana perairan yang berkongsi sumber air sama.
“Mereka juga perlu memastikan tiada sebarang aktiviti pelepasan atau pemindahan ikan koi ke perairan umum serta melaksanakan pelupusan mengikut garis panduan biosekuriti ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata, laporan pelaksanaan perlu dikemukakan kepada Pejabat Perikanan Daerah dalam tempoh 14 hari dari tarikh pekeliling dikeluarkan.
Dalam pada itu, Shuhadah menegaskan pihaknya akan menjalankan pemantauan berkala dan tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi arahan berkenaan.
“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan penularan KHV dapat dikawal sekali gus memelihara kelestarian sumber perikanan darat negeri Sabah,” katanya.
