Kenapa rakyat Semenanjung dipaksa tanggung kos diesel tinggi tetapi tidak di Borneo, soal pemimpin Pemuda PAS

Facebook Dr Tengku M Fakhruddin.

KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin Pemuda PAS mempersoalkan perbezaan harga diesel di Semenanjung berbanding Sabah dan Sarawak, yang disifatkan sebagai beban tidak seimbang.

Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Pusat, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi, berkata situasi itu menjelaskan mengapa Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, tampil bersuara keras berhubung isu harga bahan bakar.

“Apa yang disebut oleh Presiden PAS bukan sekadar politik. Ia suara marah rakyat yang makin sesak nafas melihat harga diesel di Semenanjung melambung tinggi, sedangkan di Sabah dan Sarawak masih jauh lebih rendah.

“Kalau alasan kerajaan ialah perang, Selat Hormuz dan harga pasaran dunia, kenapa rakyat Borneo tidak dibebankan seperti rakyat Semenanjung?

“Kenapa rakyat Semenanjung sahaja yang dipaksa menanggung semuanya?” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Menurutnya, kenaikan harga diesel memberi kesan langsung kepada kehidupan harian rakyat, terutama golongan yang bergantung kepada bahan api itu untuk mencari rezeki.

Katanya, golongan seperti peniaga kecil, nelayan, petani, pengusaha lori, pemandu van sekolah serta peniaga makanan antara yang paling terkesan apabila kos operasi meningkat.

Beliau menegaskan kemarahan rakyat bukan berpunca daripada kegagalan memahami ekonomi, sebaliknya disebabkan persepsi wujudnya layanan berbeza dalam pelaksanaan dasar harga.

“Rakyat bukan marah kerana tidak faham ekonomi.

“Rakyat marah kerana mereka nampak double standard yang terlalu jelas. Sabah dan Sarawak boleh dapat harga diesel lebih rendah atas alasan kos hidup dan geografi, tetapi rakyat Semenanjung dibiarkan menanggung beban sendirian,” katanya.

Beliau turut mendakwa Malaysia mempunyai sumber petroleum dan gas yang mencukupi, namun rakyat masih tidak dapat menikmati sepenuhnya hasil kekayaan tersebut akibat ketirisan dan kelemahan tadbir urus.

Dalam pada itu, Fakhruddin menyifatkan reaksi kerajaan yang meminta agar isu diesel tidak dipolitikkan sebagai tidak selari dengan realiti dihadapi rakyat.

Katanya, diesel memberi kesan menyeluruh kepada rantaian ekonomi termasuk harga makanan, kos pengangkutan, perumahan serta sektor pertanian.

“Sebab itu suara Presiden PAS hari ini lebih dekat di hati rakyat berbanding PMX (Anwar Ibrahim) yang semakin hari semakin hilang rasa empati,” katanya.




Terdahulu, Abdul Hadi mempertikaikan tindakan kerajaan menaikkan harga diesel walaupun negara mempunyai sumber minyak sendiri, selain mencadangkan kerjasama serantau bagi mengurangkan tekanan harga bahan api susulan krisis global.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama