Wanita koma di Vietnam dijadual pulang ke Sabah Jumaat ini - Azrul


KOTA KINABALU: Selepas beberapa hari bertarung nyawa di negara orang, seorang wanita Sabah yang koma akibat serangan sawan di Vietnam dijadualkan dibawa pulang ke tanah air, Jumaat ini.

Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Azrul Ibrahim memaklumkan, Rohana Joseph yang kini menerima rawatan di Hospital Nhan Dan Gia Dinh, Ho Chi Minh akan diterbangkan pulang bersama suaminya, Mohd Jamri Herry pada 1 Mei 2026.

Menurutnya, pasangan itu dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada jam 6.20 petang dengan diiringi pasukan perubatan.

“Bersama kita doakan agar segala urusan penerbangan dan kepulangan mereka dipermudahkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kepulangan Rohana, 34, ke Sabah membawa sinar harapan buat keluarganya selepas berdepan detik cemas sejak minggu lalu.

Pada 26 April lalu, media melaporkan percutian Rohana bersama suaminya di Ho Chi Minh berakhir duka apabila wanita itu diserang sawan sebelum Subuh pada hari mereka dijadualkan pulang ke Malaysia.

Suaminya, Mohd Jamri, 40, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4 pagi ketika mereka bersiap untuk ke lapangan terbang.

“Isteri langsung tidak menunjukkan tanda sakit sebelum ini, tetapi tiba-tiba diserang sawan pada hari kami mahu pulang,” katanya.

Rohana kemudian dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Nhan Dan Gia Dinh dan masih tidak sedarkan diri, namun dilaporkan dalam keadaan stabil.

Mohd Jamri yang bekerja di Majlis Sukan Negeri Sabah sebelum ini meluahkan kebimbangan berhubung kos rawatan yang semakin meningkat di Vietnam.

Menurutnya, dia sudah kehabisan wang simpanan dan berharap isterinya dapat dibawa pulang untuk meneruskan rawatan di Malaysia.

Difahamkan, pihak hospital di Vietnam tidak menghalang proses membawa pulang pesakit, namun segala risiko perlu ditanggung oleh waris.

Perkembangan terbaharu itu mengundang kelegaan ramai, terutama keluarga dan kenalan pasangan berkenaan yang tidak putus-putus mendoakan kesembuhan Rohana.

Kepulangan wanita itu ke Sabah diharap menjadi titik permulaan kepada rawatan lanjut dan peluang untuk kembali pulih.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama