TAWAU: Seorang warga emas dan seorang lelaki masing-masing dijatuhi hukuman penjara serta denda oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan dalam dua kejadian berasingan.
Tertuduh pertama, Ho Lee Ming @ Ho Kon Fook, 75, dijatuhi hukuman penjara 30 hari dan denda RM10,000, atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda, selepas didapati memandu dalam keadaan mabuk pada 19 April lalu.
Mengikut pertuduhan, warga emas itu memandu kereta jenis Perodua Ativa di Batu 7, Jalan Apas, kira-kira jam 8.45 malam dengan kandungan alkohol sebanyak 133 miligram (mg) dalam 100 mililiter (ml) darah, iaitu melebihi had dibenarkan 50 mg.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam rayuannya, tertuduh memaklumkan tidak bekerja dan hanya menanam bunga di rumah untuk dijual selain tinggal bersendirian.
Sementara itu, Henry Chai Hor Ming, 27, dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda selepas mengaku bersalah atas kesalahan sama.
Dia didakwa memandu kenderaan jenis Toyota Hilux dalam keadaan mabuk dengan kandungan alkohol 122 mg dalam 100 ml darah, melebihi had ditetapkan, sebelum hilang kawalan dan melanggar penghadang konkrit dalam kejadian di Jalan Sin On, kira-kira jam 1 pagi pada 20 Februari lalu.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Asisten Superintenden Joan Lee dalam hujahnya memohon hukuman setimpal mengambil kira faktor kepentingan awam selain kesalahan memandu dibawah pengaruh alkohol sejak akhir-akhir ini semakin membimbangkan sehingga mengancam nyawa pengguna jalan raya lain.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh hilang kelayakan memegang lesen memandu selama dua tahun berkuat kuasa serta-merta.
Kedua-dua hukuman diputuskan Majistret Don Stiwin Malanjum.
.png)