RM4.06 bilion lonjak bekalan air luar bandar Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperuntukkan RM4.06 bilion bagi memperkasakan sistem bekalan air luar bandar (BALB) dalam usaha memastikan rakyat di pedalaman tidak terus berdepan masalah bekalan air bersih.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Rubin Balang berkata, peruntukan besar itu disalurkan sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) membabitkan pelaksanaan projek baharu dan sambungan projek sedia ada.

Menurutnya, pelaksanaan projek itu melibatkan beberapa agensi utama termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Air Sabah dan Jabatan Pengairan dan Saliran.

“Peruntukan ini penting bagi memastikan keperluan asas rakyat luar bandar dipenuhi, termasuk di kawasan pedalaman dan pulau yang sebelum ini sukar mendapat bekalan air terawat,” katanya dalam ucapan penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ni. 

Dalam usaha mempercepatkan capaian bekalan air, katanya, kerajaan turut merancang penggunaan kaedah alternatif seperti pam solar, sistem graviti dan sumber air bawah tanah.

"Langkah itu dilihat lebih cepat dan efektif terutama bagi kawasan yang tidak mempunyai akses kepada sistem bekalan air konvensional.

“Pendekatan ini membolehkan bekalan air bersih disalurkan dengan lebih pantas ke kawasan yang mencabar dari segi geografi,” katanya.

Rubin menegaskan, kerajaan komited memastikan tiada rakyat tercicir daripada arus pembangunan, khususnya dalam aspek kemudahan asas.

Katanya, kementerian akan menyelaras keutamaan projek berdasarkan keperluan mendesak di setiap kawasan.

“Isu bekalan air ini bukan perkara kecil. Ia menyentuh kehidupan harian rakyat dan menjadi keutamaan kerajaan,” katanya.

Terdahulu, langkah agresif itu mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar, sekali gus meningkatkan kualiti hidup rakyat Sabah secara menyeluruh. 


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama