Wanita asing dicekup simpan minyak masak tanpa lesen di Semporna

SEMPORNA: Seorang wanita warga asing ditahan selepas dipercayai menyimpan minyak masak paket secara tidak sah dalam satu operasi di Kampung Batu, di sini, pada Selasa. 

Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Semporna, Satunlucy Lamioh @ Lamidah berkata, tindakan itu susulan kes serahan daripada Batalion N22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di sebuah rumah tanpa nombor menemukan sebanyak 680 kilogram minyak masak paket bersamaan 40 kotak yang disimpan di premis tidak dilesenkan.

“Wanita warga asing berkenaan ditahan bagi membantu siasatan dan nilai rampasan dianggarkan RM1,700. 

"Kes berkenaan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya dalam kenyataan semalam.

Katanya, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan barang kawalan dan melanggar undang-undang.

“Individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan RM3 juta bagi kesalahan berikutnya atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat pula, denda boleh dikenakan sehingga RM2 juta dan meningkat kepada RM5 juta bagi kesalahan berulang,” katanya.

Sehubungan itu, Satunlucy berkata, orang ramai digesa menyalurkan maklumat berkaitan penyelewengan barang kawalan melalui saluran rasmi termasuk WhatsApp 019-848 8000, talian 1-800-886-800, e-mel serta aplikasi Ez ADU KPDN.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama